Hamzah: Melayu Mesti Bersatu Dulu, Baru Negara Stabil

KUALA LUMPUR | 6 Mei 26 — Pemimpin RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa kestabilan negara hanya dapat dicapai sekiranya kelompok majoriti, khususnya orang Melayu, berada dalam keadaan bersatu.

Menurut beliau, kegagalan majoriti untuk bersatu akan memberi kesan langsung kepada kestabilan politik dan sosial negara, sekali gus menjejaskan keupayaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

“Kalau majoriti itu tidak bersatu, negara tidak akan stabil. Bila politik dan sosial tidak stabil, mana mungkin ekonomi boleh dimajukan,” katanya dalam satu pertemuan dengan penggerak-penggerak RESET Selangor, malam tadi.

Beliau berpandangan bahawa sebagai kumpulan majoriti, penyatuan orang Melayu akan menjadi pemangkin kepada keyakinan kaum lain untuk turut bersama dalam menentukan masa depan negara.

“Apabila majoriti sudah bersatu, kumpulan bukan Melayu akan lebih mudah melihat arah tuju dan bersama membina negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hamzah turut menggariskan keperluan membentuk satu gagasan nasional yang kukuh dengan berpaksikan matlamat bersama yang boleh diterima semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, negara memerlukan asas yang jelas dalam bentuk “common goal” yang diyakini semua pihak bagi memastikan hala tuju pembangunan negara dapat dicapai secara kolektif.

“Matlamat bersama ini mesti sesuatu yang semua orang yakin. Bila semua kaum percaya, barulah Malaysia boleh berjaya,” ujarnya.

Kenyataan tersebut dilihat memberi isyarat kepada keperluan penyatuan politik Melayu sebagai asas kestabilan negara, dalam landskap semasa yang menyaksikan perpecahan sokongan dalam kalangan parti-parti utama.

Pendekatan itu juga mencerminkan usaha untuk membina naratif lebih besar berteraskan kestabilan sebagai prasyarat kepada pertumbuhan ekonomi dan keharmonian sosial. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share