
KUALA LUMPUR | 8 Mei 26 — PAS mempersoalkan kesungguhan Kerajaan Negeri Selangor dalam mendokong titah DYMM Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi yang didakwa terus berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.
Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan negeri dilihat masih gagal menunjukkan tindakan serius walaupun teguran dan perhatian daripada pihak Istana telah dibuat berulang kali sejak Februari lalu.
Menurut beliau, keprihatinan DYMM Sultan Selangor terhadap isu tersebut dizahirkan menerusi beberapa siri kenyataan termasuk kenyataan media Istana pada 10 Februari 2026, titah pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 20 April lalu, serta kenyataan tegas terbaru pihak Istana pada 7 Mei 2026.
“Ini jelas menunjukkan isu penternakan babi di Selangor mendapat perhatian serius daripada Baginda Tuanku, khususnya berkait pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa, sensitiviti masyarakat setempat dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
PAS turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemunculan pihak tertentu yang didakwa mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan semangat titah Sultan Selangor, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan negeri dalam menjunjung institusi Raja.
Menurut Tuan Ibrahim Tuan Man, isu tersebut tidak lagi boleh dianggap sekadar isu pentadbiran biasa kerana ia turut melibatkan kedaulatan institusi Raja dan kedudukan Sultan sebagai Ketua Negeri.
“Kegagalan mendokong titah Tuanku secara bersungguh-sungguh hanya akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk terus mencabar batas yang sepatutnya dihormati,” katanya.
Beliau menegaskan kegagalan menyelesaikan isu yang berlarutan itu juga boleh mencetuskan persepsi bahawa kerajaan negeri tidak benar-benar menterjemahkan komitmen mereka dalam bentuk tindakan.
Sehubungan itu, PAS menggesa Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah lebih tegas, menyeluruh dan berkesan bagi memastikan setiap titah DYMM Sultan Selangor dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Dalam nada lebih keras, PAS turut mengingatkan bahawa menghormati institusi Raja tidak boleh sekadar menjadi retorik politik semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi tindakan pentadbiran yang jelas.
Kenyataan itu dilihat memberi tekanan politik baharu kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor apabila Sultan mengeluarkan kenyataan sebanyak dua kali berkaitan isu ladang babi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.