
KUALA LUMPUR | 12 Mei 26 — Cadangan penubuhan National Harmony Commission (NHC) oleh Pusat KOMAS kini berdepan kritikan keras apabila dianggap berpotensi membuka semula perbahasan terhadap asas pembentukan negara, termasuk kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan hak istimewa Bumiputera.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Malaysia sebenarnya telah memiliki kerangka Perlembagaan yang lengkap dan seimbang dalam mengurus hubungan antara kaum, agama dan institusi negara.
Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan memelihara institusi Raja-Raja Melayu, malah turut menjamin hak sah kaum-kaum lain.
“Cadangan penubuhan NHC berisiko membuka semula perbahasan terhadap asas-asas utama yang telah dipersetujui ketika pembentukan negara dan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya dalam hujah sanggahan terhadap cadangan tersebut.
Beliau menegaskan, isu sensitiviti kaum dan agama di Malaysia tidak boleh dinilai hanya melalui kerangka hak asasi liberal Barat kerana negara ini mempunyai latar sejarah, budaya dan struktur masyarakat yang tersendiri.
Dalam hujah tersebut, beliau turut membangkitkan kebimbangan bahawa NHC akhirnya boleh menjadi platform untuk mempertikaikan kedudukan Islam dan institusi Raja-Raja Melayu atas nama “harmoni nasional”.
Katanya, naratif yang meletakkan isu 3R — race, religion and royalty — sebagai sesuatu yang sering “dipersenjatakan” boleh mewujudkan persepsi bahawa institusi Islam dan Raja-Raja Melayu merupakan punca ketegangan sosial.
“Hakikatnya, institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak kestabilan negara dan pelindung kepada agama Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa pengalaman tuntutan Interfaith Commission (IFC) sebelum ini menunjukkan bagaimana naratif “harmoni” dan “hak asasi” pernah digunakan untuk mencabar bidang kuasa institusi Islam serta struktur Perlembagaan negara.
Selain itu, beliau mempersoalkan keperluan menubuhkan suruhanjaya baharu sedangkan Malaysia sudah mempunyai pelbagai institusi berkaitan perpaduan dan hak masyarakat seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurutnya, penubuhan NHC hanya berisiko mewujudkan pertindihan fungsi, birokrasi tambahan dan kos pentadbiran tanpa jaminan keberkesanan.
Antara kebimbangan terbesar yang dibangkitkan ialah kemungkinan NHC diberikan kuasa memanggil saksi atau membuat penilaian terhadap isu agama dan dasar negeri.
Beliau berkata keadaan itu boleh membuka ruang kepada Mufti, Hakim Syarie dan pegawai agama dipanggil mempertahankan pandangan hukum syarak di hadapan sebuah suruhanjaya yang tidak mempunyai autoriti dalam bidang tersebut.
“Hal ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa negeri serta naungan Raja-Raja Melayu. Sebarang campur tangan boleh mencetuskan konflik Perlembagaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa ketidakseimbangan sosioekonomi di Malaysia semata-mata berpunca daripada diskriminasi kaum.
Katanya, faktor sejarah penjajahan, jurang pembangunan wilayah, akses pendidikan dan struktur ekonomi lampau turut memainkan peranan besar terhadap realiti semasa.
Beliau turut mempertahankan kewujudan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak istimewa Melayu dan Bumiputera sebagai mekanisme keadilan sosial yang sah di sisi undang-undang negara.
Menyentuh soal kebebasan bersuara pula, beliau berkata undang-undang seperti Akta Hasutan masih diperlukan dalam konteks masyarakat majmuk bagi mengelakkan ketegangan kaum dan agama.
“Kebebasan bersuara tidak boleh bersifat mutlak sehingga menjejaskan keamanan dan keharmonian negara,” katanya.
Sebagai alternatif kepada NHC, beliau mencadangkan kerajaan memperkukuh pendekatan mediasi komuniti, pendidikan perpaduan dan dialog antara agama secara terkawal tanpa perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya baharu.
Menurutnya, perpaduan nasional lebih berkesan dipupuk melalui persefahaman sosial dan pelaksanaan undang-undang secara adil berbanding mekanisme tribunal atau suruhanjaya yang berisiko dipolitikkan.
Beliau berkata, isu kaum, agama dan institusi diraja terlalu sensitif untuk diletakkan di bawah sebuah badan yang mempunyai kuasa luas untuk menyiasat dan mengeluarkan syor berdasarkan tafsiran semasa kerajaan yang memerintah.
“Kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada sebenarnya telah mencukupi untuk memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat jika dilaksanakan secara adil dan berkesan,” katanya.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.