Mahkamah Putuskan Kerajaan Gagal Tunai Hak 40 Peratus Hasil Sabah

KUALA LUMPUR, 19 Okt 25 – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Memetik laporan Sinar Harian, keputusan Hakim Datuk Celestina Stuel Galid juga menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah mendapati Perintah Semakan Kedua dan Ketiga (2nd dan 3rd Review Order) yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan adalah tidak sah dan seterusnya membenarkan permohonan sepenuhnya oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama kerajaan negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40% hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

Perintah itu menetapkan supaya semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan bahagian tertentu dalam tiga warta kerajaan yang berkaitan.

Kes tersebut dimulakan oleh SLS pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan kerajaan Persekutuan menegakkan hak hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share