
PETALING JAYA, 10 DIS 25 — Cadangan menubuhkan sebuah kementerian khusus bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilihat antara langkah penting untuk mempercepat penyelesaian isu sektor tersebut, namun timbul kebimbangan ia hanya menambah birokrasi.
Presiden SME Association Malaysia, Chin Chee Seong, berkata penubuhan kementerian khusus seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung minggu lalu sebenarnya sudah lama tertangguh, memandangkan peranan besar PMKS dalam ekonomi serta cabaran pemulihan pascapandemik.
“Kementerian ini akan mewujudkan struktur arahan berpusat yang jelas, yang mampu bertindak balas pantas terhadap isu seperti pendigitalan, pembiayaan, beban peraturan dan persaingan global,” katanya, seperti laporan FMT.
Chin berkata dasar yang kini berpecah-pecah melibatkan Kementerian Pembangunan Usahawan, MITI, KPLB dan KPDN menyebabkan PMKS terpaksa berurusan dengan banyak agensi serta inisiatif bertindih.
“Kadang kala mereka habiskan masa menentukan agensi mana hendak didekati, bukannya menumpukan kepada pertumbuhan dan inovasi,” katanya.
Ahli ekonomi Barjoyai Bardai turut menyokong cadangan tersebut dan mencadangkan menteri dipilih daripada kalangan usahawan berjaya melalui pelantikan senator.
“Saya pasti mereka mempunyai banyak strategi dan ramuan untuk menjadikan PMKS berjaya,” katanya.
Beliau menambah sikap negara yang sering memihak kepada syarikat besar telah melebarkan jurang kekayaan.
“Golongan satu peratus memiliki lebih 40% kekayaan negara, manakala lebih sejuta PMKS memiliki kurang 10%,” katanya, sambil menegaskan bahawa sektor perkhidmatan yang didominasi PMKS dijangka menyumbang 65% KDNK.
PMKS kini merangkumi lebih 97% perniagaan di negara ini, menyumbang RM652.4 bilion atau 39%-40% KDNK serta menggaji separuh tenaga kerja.
Namun, Pengerusi Samenta, William Ng, memberi peringatan kementerian baharu bukan jaminan penyelesaian.
“Ia mungkin menambah lebih banyak birokrasi ke atas ekosistem PMKS yang sedia ada berpecah-pecah,” katanya.
Menurut Ng, masalah sebenar ialah kerenah peraturan serta dasar bertindih.
“Apa yang kita perlukan ialah menteri yang berkesan dan perkhidmatan awam yang berkesan. Jika pemimpin yang lemah mengetuai kementerian PMKS baharu, anda tetap tidak akan mencapai apa-apa.” @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.