
KUALA LUMPUR | 12 Mei 26 – Aktivis politik, Chegubard melontarkan kritikan terbuka terhadap hala tuju semasa Perikatan Nasional (PN) apabila mendakwa gabungan itu kini “menanggung beban bernama Bersatu”.
Dalam wawancara bersama Politiko, Chegubard berkata kemelut dalaman Bersatu serta kemunculan platform baharu seperti Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) menimbulkan persoalan besar terhadap keutuhan PN menjelang pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, ketika PN dilihat semakin lemah, keutamaan kepimpinan sepatutnya tertumpu kepada usaha memperkukuh gabungan pembangkang itu, bukannya membuka ruang politik baharu.
“Masalah besar sebenarnya ialah apabila Perikatan Nasional dilihat lemah, apa tindakan Muhyiddin sebagai pengerusi?
“Sepatutnya beliau memperkukuh PN. Tetapi sebaliknya diwujudkan pula entiti lain seperti IPR,” katanya.
Chegubard turut mempersoalkan rasional penubuhan IPR sedangkan PN sudah pun wujud sebagai platform politik utama pembangkang.
Katanya, tindakan itu menimbulkan persepsi bahawa ada pihak sedang menyediakan “jalan keluar” daripada PN demi kepentingan tertentu.
“Kenapa perlu buka platform lain kalau sudah ada PN?
“Bagi saya, itu menunjukkan wujud niat untuk menyediakan ‘jalan keluar’ daripada PN dan membuka ruang baharu demi kepentingan tertentu,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mempertahankan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada tuduhan kononnya mahu meninggalkan parti atau merancang penubuhan parti baharu.
Chegubard berkata sejarah politik negara membuktikan perubahan besar dalam politik tidak berlaku secara tergesa-gesa.
Beliau mengambil contoh pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 yang hanya membawa kepada penubuhan parti baharu setahun kemudian, selain merujuk pengalaman Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri ketika keluar UMNO.
“Kalau Hamzah benar-benar berniat jahat, tentu dia sudah siap dengan parti baharu sejak awal.
“Tetapi hakikatnya tidak. Dia ikut parti secara ikhlas,” katanya.
Chegubard turut membangkitkan persoalan mengenai alasan kekangan kewangan yang pernah digunakan sebelum ini, termasuk isu akaun dibekukan, namun kini mampu menganjurkan program dan konvensyen berskala besar.
Katanya, rakyat perlu menilai sendiri perkembangan tersebut dan memahami percaturan sebenar yang sedang berlaku dalam politik pembangkang.
“Watak-watak tertentu dalam Bersatu hari ini lebih banyak memainkan peranan memecah-belahkan pembangkang dan mengalihkan fokus perjuangan rakyat.
“Bagi saya, PN hari ini sedang menanggung beban bernama Bersatu,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.