
KUALA LUMPUR | 12 Mei 26 – Aktivis politik yang Penggerak RESET Gombak, Shafiq Abdul Halim mempersoalkan cadangan penubuhan National Harmony Commission (NHC) oleh Pusat KOMAS yang didakwanya berpotensi mencampuri urusan agama Islam serta melanggar bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, cadangan itu menimbulkan persoalan besar khususnya melibatkan institusi Islam, Mahkamah Syariah dan pengurusan mualaf.
“Adakah Suruhanjaya ini berkuasa untuk memanggil mufti? Adakah Suruhanjaya ini boleh campur tangan dalam urusan pendaftaran mualaf?” soalnya dalam sidang media, semalam.
Shafiq berkata, urusan agama Islam berada di bawah kuasa negeri termasuk institusi mufti, Mahkamah Syariah dan jabatan agama negeri.
Beliau merujuk kepada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing.
Katanya, jika Suruhanjaya itu diberi kuasa menyentuh isu berkaitan Islam, ia boleh membuka ruang pelanggaran terhadap pembahagian kuasa antara negeri dan Persekutuan.
Sebagai contoh, beliau membangkitkan kemungkinan campur tangan dalam kes individu bukan Islam yang memeluk Islam sebelum didaftarkan secara rasmi sebagai mualaf.
“Kalau ada keluarga membuat laporan kononnya penukaran agama itu menjejaskan keharmonian kaum, adakah Suruhanjaya ini boleh masuk campur?
“Kalau ya, itu bermaksud kuasa negeri sudah dicabuli,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan sama ada Suruhanjaya tersebut akan mempunyai kuasa menyiasat isu berkaitan Islam di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Beliau turut mendakwa terdapat pembentangan NGO dalam program berkenaan yang menyentuh isu sensitif seperti Artikel 153, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ICERD yang menurutnya tidak wajar dipersoalkan.
“Special provision dalam Perlembagaan wujud kerana kontrak sosial yang perlu dipertahankan,” katanya.
Shafiq menegaskan cadangan Suruhanjaya itu bukan membawa kepada keharmonian, sebaliknya berpotensi membuka ruang pertikaian kaum dan agama.
“Suruhanjaya ini bukan membawa kepada keharmonian, tetapi boleh membawa kepada kehancuran masyarakat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Kementerian Perpaduan Negara mengadakan sesi libat urus mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) yang dikendalikan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Dalam satu kenyataan media, Kementerian menjelaskan sesi tersebut hanyalah platform mendapatkan pandangan dan maklum balas sebelum sebarang keputusan dibuat kerajaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.