
KUALA LUMPUR , 22 MEI 25 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka lapan kertas siasatan baharu yang berkaitan dengan aset milik Tun Daim Zainuddin, ahli keluarganya serta seorang sepupunya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan itu dijalankan susulan maklumat baharu yang diterima agensi anti rasuah itu dari luar negara.
“Kesemua siasatan baharu ini melibatkan dakwaan pemilikan aset bernilai tinggi oleh Daim, ahli keluarganya dan seorang sepupunya yang tidak diisytiharkan kepada SPRM,” katanya ketika sidang media, semalam.
Beliau berkata penemuan itu hasil siasatan yang dijalankan pada 2023 dan kegagalan mengisytiharkan aset merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
Walaupun Daim telah meninggal dunia pada November lalu, SPRM tetap akan meneruskan cadangan untuk melucut hak aset-aset tersebut, kata Azam.
Pada Januari tahun lalu, Daim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan gagal mematuhi syarat notis perisytiharan aset dikeluarkan SPRM.
Beliau dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur, serta enam hartanah.
Daim didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan akaun di Amanah Saham Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional, serta tujuh kenderaan mewah.
Namun, November tahun lalu, Allahyarham Daim Zainuddin dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan aset, susulan kematian bekas menteri kewangan itu.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan pembebasan itu, walaupun permohonan oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin adalah untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Katanya, pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Daim susulan kematiannya. @politiko.com