
KUALA LUMPUR | 13 Mei 26 — Krisis dalaman BERSATU kini dilihat bukan lagi sekadar konflik organisasi parti, sebaliknya berpotensi menggugat kestabilan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan.
Konsultan Kanan Asia Global Consulting, Dr Ahmad Zaruddin Sani Ahmad Sabri berkata, tindakan BERSATU memecat dan menggantung beberapa pemimpin yang masih memegang jawatan dalam kerajaan negeri telah meletakkan PAS dalam situasi politik yang sukar.
Menurut beliau, perkembangan itu menjadi ujian sebenar terhadap hubungan serta kesetiaan PAS dalam gabungan PN.
“Persoalan yang timbul sekarang ialah sama ada BERSATU masih benar-benar selari dengan Perikatan Nasional, khususnya PAS.
“Kita lihat ada beberapa ‘hiccup’ yang berlaku, termasuk di Perlis melibatkan isu pertukaran Menteri Besar,” katanya dalam forum atas talian Agenda AWANI: Konflik Dalaman BERSATU.
Beliau berkata, tindakan disiplin melibatkan individu yang memegang jawatan Exco dan Speaker di Kedah serta Kelantan memberi tekanan langsung kepada PAS untuk menentukan pendirian politik mereka.
Menurutnya, BERSATU kini seolah-olah sedang menguji sejauh mana PAS bersedia mempertahankan individu yang tidak lagi bersama kepimpinan parti itu.
“Ini memberi signal kepada PAS. Adakah PAS akan terus mengekalkan mereka, ataupun PAS akan bertindak secara ‘gentleman’ dalam semangat Perikatan Nasional dengan menggugurkan mereka?
“Ini sebenarnya indikator untuk melihat sejauh mana kesetiaan PAS bersama BERSATU ketika ini,” katanya.
Dr Ahmad Zaruddin berpandangan, situasi tersebut memberi gambaran hubungan antara PAS dan BERSATU mungkin tidak lagi sekuat seperti sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketahanan PN menjelang landskap politik baharu menuju PRU16.
Namun katanya, persoalan terbesar ketika ini ialah sejauh mana hubungan PAS dan BERSATU mampu bertahan jika ketegangan dalaman terus berpanjangan.
Beliau mengibaratkan hubungan kedua-dua parti itu seperti menggunakan “pinggan yang sudah retak”.
“Kalau kita makan dalam satu pinggan tetapi pinggan itu sudah retak seribu, adakah kita masih boleh terus makan di atasnya?
“Atau kita sedang menunggu masa sahaja untuk semuanya berderai?” katanya.
Dr Ahmad Zaruddin menegaskan PN perlu segera memperkukuhkan semula hubungan dalaman gabungan itu sekiranya mahu terus dilihat relevan sebagai alternatif kerajaan pada masa depan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.