
KUALA LUMPUR, 20 NOV 25 – Bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli mengecam tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya “menegur keras” setiausaha politiknya selepas isu surat sokongan tular, tanpa sebarang tindakan keras diambil.
Kenyataan Anwar di Parlimen yang mengakui memberikan teguran kepada Setiausaha Politiknya, Shamsul Iskandar Md. Akin, yang memberi surat sokongan secara tidak langsung mencetuskan persoalan berhubung integriti dalam pentadbiran dipimpinnya.
Dalam kenyataan hari ini, Rafizi berkata rakyat mempunyai hak untuk menuntut tindakan yang lebih kukuh apabila melibatkan pegawai kanan perdana menteri dalam isu yang melibatkan kepentingan awam.
“Cuma jawapan perdana menteri tu macam takde ‘oomph’….masa kita pembangkang, rakyat faham kita tidak ada kuasa. Sekarang dah tiga tahun jadi kerajaan, rakyat boleh menilai sendiri,” ujar Rafizi.
Bekas menteri ekonomi itu turut memetik statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Menteri Undang-Undang yang menunjukkan masih wujud jurang besar antara retorik anti rasuah dan realiti sabitan kes.
Rafizi turut menggunakan contoh sabitan jenayah rasuah menurun daripada 300 kes (2021) kepada 256 kes (2024), walaupun jumlah tangkapan meningkat.
Rafizi menegaskan dalam konteks kes melibatkan Shamsul Iskandar, perdana menteri sepatutnya menggunakan peluang itu untuk membuktikan komitmen sebenar terhadap anti rasuah dan bukan sekadar membuat kenyataan.
“Jika setakat ‘tegur keras’ tetapi orang itu masih kekal di situ, lama-lama rakyat tak ambil serius.
“Jangan tegur sahaja, pecat atau laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya disiasat,”tegas Rafizi.
Menurut Rafizi, kerajaan juga digesa untuk memanggil SPRM menyiasat sama ada wujud habuan bertukar tangan atas surat sokongan yang dikeluarkan setiausaha politik tersebut.
Beliau menambah jika kerajaan benar-benar serius, tindakan tegas harus diambil segera secara terbuka, bukan hanya untuk menyelamatkan imej politik semata-mata.
“Kalau setakat tegur keras, tetapi orang itu masih ada di situ, lama-lama berucap keras macam mana pun orang tak ambil serius.
“Takut nanti orang cakap depan cakap lain, belakang buat lain,” kata Rafizi lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.