
MELAKA | 13 Mei 26 — Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menggesa UMNO meninggalkan Kerajaan Madani sekiranya benar-benar mahu mempertahankan prinsip perjuangan Melayu dan menolak DAP.
Gesaan itu dibuat susulan polemik pembukaan cawangan DAP di Kampung Padang Temu yang mencetuskan reaksi pimpinan UMNO Bahagian Kota Melaka.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman menyifatkan cubaan menggambarkan penubuhan cawangan DAP di kawasan majoriti Melayu itu sebagai “sejarah besar” adalah tidak tepat.
Menurut beliau, penyertaan beberapa individu Melayu ke dalam DAP hanya melibatkan bekas ahli Amanah yang kecewa dan “salin kulit”, selain menegaskan ia tidak mencerminkan penerimaan masyarakat Melayu terhadap perjuangan DAP.
Mengulas perkara itu, Yadzil menyifatkan reaksi UMNO Melaka sebagai bukti parti itu sebenarnya panik dengan perkembangan pengaruh DAP di kawasan Melayu.
“Lucu melihat UMNO seperti cacing kepanasan hanya kerana papan tanda parti rakan mereka dipasang di kampung Melayu.
“Di peringkat pusat mereka duduk semeja dan berkongsi kuasa dengan DAP, tetapi apabila DAP masuk kawasan Melayu, tiba-tiba mahu berlagak hero,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata kenyataan UMNO yang mendakwa DAP menggunakan angka keahlian untuk menutup kegagalan menangani kos sara hidup turut mengesahkan kelemahan kerajaan sendiri.
“Bukankah UMNO juga sebahagian daripada kerajaan pusat dan negeri?
“Kalau ekonomi gagal diurus dan rakyat terus tertekan, itu juga kegagalan menteri dan EXCO UMNO,” katanya.
Menurut Yadzil, rakyat semakin muak dengan “sandiwara dua muka” UMNO yang terus mempertahankan kerjasama dengan DAP di peringkat kerajaan tetapi memainkan sentimen anti-DAP di akar umbi.
Katanya, semakin ramai rakyat mula tertarik kepada gerakan RESET yang dipelopori Hamzah Zainudin kerana membawa pendekatan politik yang lebih bersih dan berprinsip.
“Kalau benar UMNO masih ada maruah dan prinsip, tinggalkan sahaja Kerajaan Madani,” katanya.@politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.