
KUALA LUMPUR | 8 Feb 26 – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan bahawa tindakan Lembaga Disiplin parti dilaksanakan sepenuhnya mengikut peruntukan Perlembagaan Bersatu.
Menurut beliau, Perlembagaan parti tidak memberi keistimewaan kepada mana-mana individu atau jawatan, dan setiap ahli tertakluk kepada peraturan yang sama tanpa pengecualian.
“Dalam Bersatu, perlembagaan tidak mengenal kedudukan dan tidak mengenal individu. Mana-mana ahli yang didapati melanggar peruntukan perlembagaan atau peraturan parti, dan sekiranya terdapat aduan bertulis, maka aduan itu akan diserahkan kepada Lembaga Disiplin,” katanya dalam satu rakaman video Sinar Harian, baru-baru ini.
Azmin menjelaskan bahawa Lembaga Disiplin mempunyai mandat jelas untuk meneliti setiap aduan yang diterima serta membuat keputusan berdasarkan bukti, termasuk memberi amaran, membebaskan, menggantung atau memecat ahli terlibat, selaras dengan peruntukan perlembagaan parti.
“Saya tidak mahu mengulas soal petisyen atau pihak yang mengemukakan aduan kerana itu adalah hak mana-mana ahli parti. Yang penting, Lembaga Disiplin akan meneliti aduan tersebut secara bebas dan profesional,” katanya, ini secara tidak langsung menolak tanggapan bahawa tindakan disiplin bermotifkan politik.
Azmin merujuk kepada Perkara 22.5 Perlembagaan Bersatu, yang memperuntukkan bahawa sebarang aduan bertulis daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Badan Pimpinan Negeri, bahagian, cawangan atau mana-mana ahli terhadap salah laku ahli lain mesti didengar oleh Lembaga Disiplin.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan beberapa pihak yang mendakwa tindakan disiplin terhadap pimpinan parti tertentu bertujuan menekan perbezaan pandangan politik dalaman. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.