
KUALA LUMPUR | 15 Mei 26 — Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung mempersoalkan tindakan pemimpin Anthony Loke yang didakwa mahu memasukkan sumbangan dan jasa DAP dalam naratif sejarah negara.
Menurut beliau, perkara itu seolah-olah cubaan untuk mengangkat DAP sebagai “pejuang negara”, walaupun parti tersebut tidak terlibat dalam perjuangan kemerdekaan ataupun pembinaan asas negara selepas merdeka.
“Hari ini saya nak kongsi satu berita yang mungkin ramai tak perasan. Kalau tak silap, hanya media aliran Cina yang laporkan. Bos DAP yang juga menteri, Anthony Loke, mahu masukkan sumbangan dan jasa DAP dalam sejarah negara,” katanya menerusi satu video di Facebook.
Saw Yee Fung mendakwa, DAP kini mula menunjukkan “belang sebenar” selepas berada dalam kerajaan apabila cuba membina legasi politik sendiri melalui naratif sejarah.
Beliau turut mempersoalkan peranan DAP dalam pembangunan awal negara dengan membandingkan usaha kerajaan terdahulu membangunkan luar bandar, membuka tanah rancangan FELDA, membina sekolah, jalan kampung dan sistem pentadbiran negara.
“Sebelum merdeka, DAP belum wujud. Masa perjuangan kemerdekaan, DAP belum ditubuhkan. Jadi apa sebenarnya sumbangan besar DAP dalam pembinaan negara?” soalnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.