
KUALA LUMPUR | 20 Mei 26 — Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki menyelar tindakan pemimpin DAP, Tony Pua yang didakwa mempersendakan titah Sultan dan menyentuh Institusi Raja Melayu.
Dalam kenyataan ringkas tetapi keras di media sosial, Asyraf Wajdi berkata tindakan tersebut bukan boleh dianggap sebagai kebebasan bersuara, sebaliknya satu bentuk kebiadaban terhadap Institusi Raja.
“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Tony Pua sebagai “bagai kaduk naik junjung” kerana didakwa melampaui batas dalam mengulas perkara melibatkan Raja-Raja Melayu.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berkata di facebook miliknya bahawa “Rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat,”.
Kenyataan Asyraf wajdi hadir ketika isu berkaitan Institusi Raja Melayu terus menjadi perhatian susulan beberapa kenyataan politik yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Asyraf Wajdi menegaskan bahawa UMNO berdiri teguh bersama Institusi Raja Melayu dan tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang dilihat cuba memperlekehkan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam sistem negara.
Kenyataan tersebut turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang melihat isu penghormatan terhadap Institusi Raja Melayu sebagai perkara sensitif dan berkait rapat dengan Perlembagaan Persekutuan serta identiti negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.