
KUALA LUMPUR, 14 DIS 25 — Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan berpunca daripada faktor bahasa, sebaliknya berkait rapat dengan pembentukan sikap dan ideologi yang bertentangan dengan agenda perpaduan serta identiti nasional, tegas Profesor Murad Merican.
Menurut beliau, kewujudan UEC sejak tahun 1962 telah melahirkan dua kelompok masyarakat yang berbeza iaitu golongan nasional dan anti-nasional, selain mencerminkan sistem ideologi yang bersifat anti-perpaduan, anti-nasional serta cenderung kepada ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian negara.
“UEC menggalakkan ekstremisme dalam negara. Mereka menolak perpaduan dan identiti nasional, sebaliknya mengekalkan sejarah serta identiti China di Malaysia. Perkara ini jelas dapat dilihat melalui kurikulum sejarah yang diajar,” katanya.
Murad turut mendedahkan bahawa ketika berkhidmat sebagai penilai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) beberapa tahun lalu, beliau menolak program institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menggunakan kurikulum sejarah berasaskan sejarah Taiwan dan tamadun China, namun keputusan akhir MQA tetap meluluskan program-program berkenaan.
“Kita tidak nampak orientasi pengajaran sejarah seolah-olah mereka bukan warga negara Malaysia. Amat jelas Uec mengajar pelajar mereka bersifat dan bersikap anti-nasional. Katanya.
Beliau menegaskan orientasi pengajaran sejarah dalam sistem UEC menunjukkan seolah-olah pelajar tidak dibentuk sebagai warganegara Malaysia, malah dididik dengan sikap dan pemikiran anti-nasional.
Murad turut merujuk kepada satu tinjauan sekitar 2019 atau 2020 yang melibatkan pandangan beliau, dengan menyatakan pembiayaan UEC oleh Dong Zong dan Jiao Zong yang didakwanya mempunyai kecenderungan ekstremis.
“Mengapa sesebuah negara perlu menyokong, mengekalkan dan memberi bantuan kepada kumpulan ekstremis dalam negara sendiri?” soal beliau, sambil memaklumkan bahawa kenyataan dan pandangan tersebut telah dirakamkan namun laporan penuh tidak pernah didedahkan kepada umum.
Baru-baru ini, isu UEC kembali timbul susulan kenyataan Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa DAP akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.
Namun demikian, pelbagai pihak membantah usaha ini dan menyifatkan tuntutan tersebut melanggar aspirasi pendidikan nasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.