Kadar Kelahiran Cina Terus Menurun, Wanita MCA Suarakan Kebimbangan

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Wanita MCA melahirkan kebimbangan terhadap penurunan kadar kelahiran dalam kalangan etnik Cina di Malaysia yang dilihat berpotensi mengubah landskap politik dan sosial negara.

Pengerusi Nasional Wanita MCA, Wong You Fong berkata statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hanya 7,350 bayi etnik Cina dilahirkan dalam empat bulan pertama tahun ini, penurunan 8.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Wong, angka itu merupakan yang terendah dalam sejarah negara dan menjadi petunjuk jelas bahawa masyarakat Cina sedang berdepan krisis demografi yang serius.

“Jika trend ini berterusan, kita bukan sahaja melihat populasi yang semakin kecil, malah berisiko menjadi minoriti yang terpinggir dalam negara sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau turut memberi amaran bahawa perubahan demografi ini akan melemahkan perwakilan politik, pengaruh ekonomi serta jejak budaya masyarakat Cina di Malaysia.

Wong menjelaskan bahawa punca utama kepada kemerosotan kadar kelahiran adalah tekanan ekonomi yang dihadapi pasangan muda termasuk kos sara hidup tinggi, harga rumah tidak mampu milik dan kekurangan pusat penjagaan kanak-kanak.

Beliau berkata ramai anak muda kini menangguhkan perkahwinan atau memilih untuk tidak mempunyai anak kerana berpendapat mereka tidak mampu membina keluarga yang stabil.

“Ini bukan soal keengganan, tetapi soal kemampuan dan keyakinan untuk hidup berkeluarga dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” ujarnya.

Wong turut menggesa para pendidik memainkan peranan dalam mendidik pelajar mengenai kepentingan institusi keluarga sebagai asas kepada masyarakat yang seimbang dan mampan.

Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu segera mengambil tindakan dengan semangat empati dan visi yang jelas bagi memastikan masa depan komuniti Cina dan keharmonian negara terus terpelihara. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share