
KUALA LUMPUR | 25 Mei 26 — Kenyataan panjang Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertujuan mempertahankan parti itu daripada kritikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilihat lebih banyak mendedahkan kelemahan dalaman BERSATU sendiri serta mengesahkan wujudnya krisis serius dalam Perikatan Nasional (PN).
Pemerhati berpendapat kenyataan tersebut gagal meredakan ketegangan, sebaliknya memperlihatkan hubungan PAS-BERSATU semakin retak dan tidak lagi mampu disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Menurut pemerhati politik, nada kenyataan itu terlalu defensif dan memperlihatkan BERSATU berada dalam keadaan tertekan untuk mempertahankan kredibiliti parti.
Pemerhati turut melihat BERSATU secara tidak langsung cuba meletakkan kesalahan kepada PAS apabila beberapa kali menegaskan pimpinan PAS gagal memberi respon, tidak hadir pertemuan dan mempertikaikan keputusan Majlis Tertinggi PN.
Dalam masa sama, penjelasan BERSATU mengenai dakwaan kelemahan jentera pilihan raya juga dianggap tidak meyakinkan. Mereka berpendapat, keahlian adalah jentera sebaliknya dalam gerak kerja politik, keahlian tidak pernah menggambarkan kekuatan sebenar jentera dilapangan.
BERSATU hanya menampilkan hujah bahawa parti menerima “ratusan ahli baharu setiap hari” tanpa mengemukakan bukti kekuatan sebenar di peringkat akar umbi.
Penganalisis menyifatkan hujah itu sekadar slogan politik kerana jumlah ahli tidak semestinya menggambarkan kekuatan jentera pilihan raya.
Selain itu, penggunaan isu kuasa Raja Perlis dalam polemik pertukaran Menteri Besar boleh ditafsir sebagai cubaan memberi gambaran bahawa PAS tidak menghormati institusi Raja.
Bahagian paling kontroversi dalam kenyataan itu ialah sindiran mengenai “kuasa veto” yang dipercayai merujuk secara langsung kepada Presiden PAS.
Pemerhati politik berpandangan ayat tersebut mengesahkan wujud perebutan pengaruh dan ketidakpuasan hati terhadap dominasi PAS dalam PN.
Secara keseluruhan, kenyataan BERSATU dilihat gagal meredakan konflik, sebaliknya mengukuhkan persepsi bahawa gabungan PN kini sedang berdepan krisis keyakinan dalaman yang semakin sukar dikawal. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.