
KUALA LUMPUR | 29 Mei 26 — Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla menegaskan Raja Muda mempunyai hak untuk menegur dan memberi nasihat dalam perkara yang menyentuh kepentingan rakyat serta kesejahteraan negeri, meskipun perkara itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kritikan yang dilemparkan terhadap titah Tengku Mahkota Pahang berhubung isu latihan ketenteraan menunjukkan masih ada pihak gagal memahami peranan sebenar institusi diraja dalam sistem kenegaraan Malaysia.
Menurut Haniff, titah tersebut tidak boleh disamakan sebagai arahan, dekri atau cubaan mengatasi undang-undang, sebaliknya ia hanyalah teguran yang dibuat atas kapasiti Raja sebagai ketua negeri.
“Raja pun tahu bidang kuasa baginda. Titah itu bukan undang-undang, bukan arahan memaksa, tetapi teguran dan nasihat demi kepentingan rakyat negeri,” katanya.
Beliau turut membidas kenyataan beberapa pihak termasuk Zaid Malek yang menurutnya melihat institusi diraja terlalu sempit hanya dari sudut perlembagaan dan undang-undang.
Katanya, sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia tidak boleh difahami secara literal semata-mata tanpa mengambil kira sejarah, adat dan kedudukan institusi diraja yang telah sebati dalam masyarakat sejak sebelum merdeka.
“Bila lihat secara sempit, akhirnya timbul kenyataan yang tidak lengkap dan boleh mengelirukan rakyat terhadap peranan Raja-Raja Melayu,” ujarnya.
Haniff berkata, seorang Raja atau Sultan tetap mempunyai tanggungjawab moral untuk bersuara apabila melibatkan kepentingan rakyat, termasuk isu keselamatan, alam sekitar atau kesejahteraan negeri.
Beliau turut berpandangan Menteri Pertahanan sewajarnya mengambil pendekatan berhemah dengan menghadap pihak Istana Pahang bagi memberi penjelasan serta mendengar sendiri pandangan yang dibangkitkan.
“Itulah adab dalam sistem kenegaraan Malaysia yang menjunjung institusi diraja,” katanya.
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah dan melahirkan kebimbangan mengenai kesan alam sekitar daripada rancangan untuk mengadakan eksesais ketenteraan di negeri itu, terutamanya di kawasan kepulauan.
Walaupun Tengku Hassanal berkata baginda tidak membantah latihan ketenteraan untuk meningkatkan kemahiran tentera, aktiviti sedemikian mesti dilakukan dengan cara terkawal serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar serta semua pihak.
Namun selepas itu, Peguam Zaid Malek berpendapat bahawa titah Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini yang mewajibkan angkatan tentera mendapatkan perkenan diraja sebelum menjalankan latihan ketenteraan di negeri itu adalah tidak berasas dari segi perlembagaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.