Laman media sosial khususnya Facebook, kini dihujani dengan simbol kancil dan warna kuning, satu fenomena visual yang tidak boleh dipandang remeh oleh landskap politik tanah air.
Namun jika kita membaca fenomena ini hanya sebagai “gerakan politik biasa” atau “ancaman elektoral kepada PKR”, kita sebenarnya telah ketinggalan satu lapisan analisis yang jauh lebih penting.
Apa yang sedang berlaku di ruang digital Malaysia bukan sekadar kempen politik bahkan sebuah pertunjukan transpolitik di mana tanda, simulasi dan persepsi lebih nyata daripada jentera, keahlian dan kerusi Parlimen.
Sama ada disedari atau tidak, Parti Bersama Malaysia (Bersama) telah melancarkan peperangan bukan di dewan undangan dan parlimen tetapi di ranah persepsi dan dalam peperangan jenis ini, PKR dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bermain di padang persaingan platform media sosial yang getir.
Transpolitik ialah konsep yang diperkenalkan oleh sarjana semiotik dari Indonesia Prof Dr Yasraf Amir Piliang untuk menggambarkan politik di era virtual, di mana politik tidak lagi terbatas pada ruang institusi tradisional tetapi merentas sempadan, mencampuri bidang lain seperti media, budaya, ekonomi, dan teknologi.
Transpolitik adalah gabungan semua faktor ini dan ia menandakan politik yang beroperasi dalam dunia simulasi, hiper-realiti dan manipulasi citra selama 25 jam sehari! (bukan silap taip)
Dalam memahami mengapa gelombang kancil kuning terasa begitu mengancam walaupun secara fizikal Bersama belum memiliki satu kerusi Parlimen pun, kita harus meninggalkan kerangka politik konvensional.
Dalam politik tradisional, kekuatan sesebuah parti diukur daripada bilangan ahli, cawangan di peringkat kampung, dana kempen dan rekod khidmat masyarakat. Dalam konteks ini Bersama tidak memiliki semua itu dengan alasan yang disedari sepenuhnya.
Mereka mengumumkan dengan bangga: tiada cawangan, tiada ketua bahagian, tiada mesyuarat fizikal. Pada pandangan pertama, ini kelihatan seperti kelemahan atau paluan gendang kosong tetapi dalam logik transpolitik, itu adalah kelebihan maut. Ini kerana apabila anda tidak memiliki jentera fizikal, anda tidak perlu mempertahankannya.
Apabila anda tidak memiliki cawangan, anda tidak perlu risau tentang ketua bahagian yang meletak jawatan. Apabila seluruh kewujudan parti anda berada di ruang digital maka parti anda sekuat algoritma yang memuat naiknya.
Maka di sinilah konsep hiper-realiti menjadi kunci untuk difahami. Bersama tidak perlu membuktikan bahawa mereka memiliki sejuta ahli.
Cukup dengan mencipta ilusi bahawa semua orang sedang bertukar kepada gambar profil kancil kuning. Algoritma Facebook melakukan selebihnya: ia menayangkan kepada setiap pengguna bahawa lapan daripada sepuluh rakan mereka telah menyertai gelombang ini.
Lapan daripada sepuluh itu mungkin hanya tiga orang yang aktif berkongsi namun algoritma mengulang-ulang kehadiran mereka sehingga persepsi terbentuk di benak pengguna: “Ini besar. Ini tidak dapat dihentikan. Saya mungkin ketinggalan jika tidak ikut serta.”
Persis seperti yang dijelaskan oleh pemikir pasca moden dari Peranchis Jean Baudrillard, simulasi tidak lagi meniru realiti; simulasi mendahului realiti dan membentuk realiti itu sendiri.
Kancil kuning bukanlah simbol yang mewakili kekuatan Bersama. Kancil kuning adalah kekuatan itu sendiri. Ia adalah tanda telah memakan yang ditandai.
Apa yang lebih menarik lagi apabila kita membaca strategi Bersama sebagai politik tanpa subjek. Siapa sebenarnya di sebalik gelombang ini? Rafizi Ramli dan Nik Nazmi disebut sebagai pengasas tetapi mereka tidak muncul setiap hari di setiap ruang komen.
Sebaliknya apa yang bergerak adalah massa atau khalayak anonim: ribuan akaun tanpa wajah, tanpa nama sebenar, tanpa tanggungjawab organisasi, tetapi dengan disiplin yang mengejutkan dalam menyebarkan simbol yang sama.
Dalam kerangka transpolitik, ini bukan kelemahan; ini adalah bentuk peperangan yang paling sukar dilawan kerana anda tidak dapat berunding atau membubarkan sesuatu yang tidak memiliki pusat atau ia bersifat nyahpusat atau decentre.
Oleh itu kesan daripada ketiadaan atau nyah pusat ini amat menghancurkan bagi PKR secara psikologi. Apabila seorang ketua bahagian PKR di Selangor melihat rakan-rakannya di Facebook bertukar kepada gambar kancil, dia tidak melihat siapa yang memulakannya.
Maka apa yang dilihatnya adalah gelombang tanpa pemimpin, tanpa manifesto atau tanpa pusat namun dengan momentum yang luar biasa.
Dalam kepala ketua bahagian itu, satu siri persoalan bermula: “Adakah saya masih relevan? Adakah anak buah saya sudah beralih arah? Jika saya terus bertahan, adakah saya akan ketinggalan atau menjadi bahan ejekan?” Inilah senjata paling ampuh transpolitik: meyakinkan musuh bahawa dia sudah kalah sebelum pertempuran bermula.
Tanpa satu tembakan dilepaskan, tanpa satu demonstrasi jalanan, tanpa satu laporan polis, gelombang kancil kuning mampu mencipta keretakan di peringkat akar umbi PKR yang mungkin lebih parah daripada kekalahan dalam pilihan raya kecil sekalipun. Bagi generasi digital, ia amat mudah sekali.
Namun sebagai analisis yang objektif, kita juga harus mengakui bahawa transpolitik bukan tanpa kelemahan.
Tular atau viralnya kancil kuning di Facebook tidak secara automatik diterjemahkan kepada undi di peti undi terutama di kawasan luar bandar, pinggir bandar atau kawasan urban sekalipun, apatah lagi di pedalaman Sabah dan Sarawak serta kalangan warga emas yang akses internetnya terhad.
Algoritma boleh mencipta ilusi bahawa seluruh Malaysia sedang bergelora tetapi pada hari pengundian, yang menentukan adalah hubungan personal antara calon dengan pengundi, khidmat masyarakat yang telah dibina bertahun-tahun dan jentera fizikal yang mampu menggerakkan pengundi ke pusat mengundi. – Bersambung di bahagian akhir
Oleh Ismail Hashim Yahaya. Penulis merupakan pemerhati politik dan hubungan antarabangsa. Beliau mengulas isu semasa melalui sudut pandang semiotik dan naratif.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.