
KUALA LUMPUR | 4 Jun 26 — Isu politik di Perlis terus mencetuskan perhatian apabila dakwaan wujudnya usaha menjatuhkan Menteri Besar daripada PAS dikaitkan dengan penglibatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
ADUN Sura, Dr Tengku M Fakhruddin berkata, perkembangan tersebut membuka mata ramai pihak selepas pengakuan tiga ADUN PAS berhubung kewujudan akuan berkanun (SD) yang didakwa ditandatangani bersama ADUN Bersatu bagi menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar PAS.
Menurut beliau, penafian yang dibuat oleh mana-mana pihak tidak mampu menutup persoalan yang timbul apabila perkara tersebut sudah direkodkan melalui pengakuan berkaitan.
“BERSATU boleh nafikan apa sahaja, tetapi pengakuan tiga ADUN PAS bahawa SD ditandatangani bersama ADUN BERSATU untuk menjatuhkan Menteri Besar PAS bukan lagi khabar angin, tetapi fakta yang direkodkan,” katanya menerusi laman facebook, semalam.
Beliau berkata, rakyat kini boleh menilai sendiri persoalan yang timbul daripada perkembangan tersebut.
“Kalau benar tidak terlibat, kenapa wujud pengakuan itu? Kalau benar setia sebagai rakan, kenapa ada usaha menjatuhkan kerajaan yang dipimpin PAS?” katanya.
Dr Tengku M Fakhruddin turut menyifatkan tindakan sedemikian sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap hubungan politik yang telah dibina bersama.
“Khianat tetap khianat. Nama boleh ditukar, kenyataan boleh diputar, tetapi sejarah tidak boleh dipadam,” katanya.
Beliau berkata, dalam politik, ancaman terbesar kadangkala bukan datang daripada musuh tetapi daripada pihak yang berada dalam lingkungan kerjasama yang sama.
“Yang menikam dari belakang selalunya bukan musuh, tetapi orang yang berdiri di sebelah kita,” katanya.
Menurut beliau, isu Perlis sewajarnya menjadi pengajaran kepada semua pihak mengenai pentingnya menjaga kepercayaan dan kesetiaan dalam mana-mana kerjasama politik.
Perkembangan itu dijangka terus menjadi perhatian kerana melibatkan hubungan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) serta kestabilan politik negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.