Kini hangat dibincangkan apakah langkah Datuk Seri Hamzah Zainudin seterusnya.
Apa yang pasti ialah beliau telah menggariskan gagasan Konsensus Nasional Baru untuk Malaysia yang lebih baik dan mengetuai gerakan Reset untuk melaksanakan gagasan itu.
Turut hangat dibincangkan ialah apakah parti politik yang akan diumumkan Hamzah?
Apa yang pasti ia bukannya untuk political survivalism. Sebaliknya, ia politik perjuangan pembinaan negara yang berasaskan amar makruf nahi mungkar.
Oleh kerana gagasan dan gerakannya jelas, maka saya melihat terdapatnya peluang, bukan sekadar untuk memenangi PRU16 sahaja, tetapi juga untuk reset keseluruhan budaya politik Malaysia.
Ini melibatkan perkara-perkara berikut:
Politik Baru
Kita perlu membuang unsur-unsur yang mengotorkan politik, contohnya politik patronage, beli undi, rasuah, fitnah dan penipuan.
Caranya ialah dengan membangun budaya ‘Politik Baru’ yang bersih dan segar, iaitu politik ilmu, hikmah, integriti dan bakti.
Juga mewujudkan ‘Kerangka Governans Baru’ antara politik-kerajaan, perniagaan/swasta dan masyarakat sivil, iaitu sebagai rakan pembangunan yang mengamalkan syura (perundingan).
Demokrasi Malaysia yang berbilang kaum dan moderat
Perlu dicegah politik perkauman sempit dan ekstrim, serta membina politik yang mencerminkan rakyat Malaysia yang sebenar.
Caranya ialah dengan wujudnya parti-parti politik pelbagai kaum (kaum majoriti dan minoriti) atau parti-parti satu kaum yang menyertai parti-parti lain untuk menjadi parti gabungan pelbagai kaum.
Pendekatan yang digunakan ialah wasatiyyah (kesederhanaan, moderat, seimbang) dan menolak ekstrimisme.
Kerangkanya ialah centripetalism, iaitu wujudnya parti-parti pelbagai kaum dan platform-platform perundingan serta berkempen atas isu-isu rentas-kaum.
Sistem yang kondusif
Perlu dipisahkan tugas antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan menubuhkan sebuah badan baru untuk persempadanan kawasan pilihan raya, iaitu bukannya kedua-dua tugas besar itu berada dalam SPR seperti sekarang.
Kaedah pelantikan pengerusi SPR dan badan baru ini hendaklah telus.
Undang-undang tentang pilihan raya perlu dibaiki, contohnya siling dana yang dibenarkan dalam berkempen sekarang sudah tidak praktikal.
Masanya telah tiba untuk diadakan tempoh tetap penggal Parlimen (fixed term Parliament) demi kestabilan politik.
Akta Pendanaan Politik juga amat diperlukan bagi mencegah rasuah dan salah guna kuasa serta menyediakan padang yang saksama untuk semua parti politik. Ini termasuk dana yang diperuntukkan kepada parti-parti politik mengikut formula tertentu.
Memperkasa Parlimen
Parlimen mesti benar-benar bebas dari segi pentadbiran dan kaki tangannya serta peranannya menguruskan perjalanan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Struktur-struktur penting mesti ditambahbaik, contohnya Jawatankuasa-jawatan Pilihan, Kerajaan Bayangan dan peruntukan saksama kepada Ahli-ahli Parlimen.
Ahli-ahli Parlimen perlu meningkatkan kemampuannya yang sebenar iaitu sebagai pembuat undang-undang yang berorientasi-polisi.
Pemikiran Baru Demokrasi
Demokrasi adalah kaedah terbaik untuk memilih kerajaan. Tetapi ia ada kekangan-kekangan, contohnya dikuasai golongan kaya dan unsur-unsur negatif tertentu. Sebab itu orang-orang pelikpun dapat menjadi Presiden.
Sudah ada percubaan-percubaan untuk memperbaiki demokrasi, contohnya dengan memperkenalkan konsep ‘demokrasi partisipatif’ dan ‘demokrasi deliberatif’.
Sebagai Muslim, kita perlu membangunkan amalan ‘syura yang lengkap’ sebagai satu penyelesaian terhadap kekangan-kekangan demokrasi tersebut.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.