
KUALA LUMPUR | 10 Jun 26 – Seramai 13 Ahli Parlimen yang sebelum ini dikaitkan dengan Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) mendesak supaya parti itu segera keluar atau disingkirkan daripada Perikatan Nasional (PN), susulan dakwaan bahawa kepimpinan parti telah menjadi beban kepada gabungan pembangkang tersebut.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menyifatkan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU sebagai sesuatu yang tidak mengejutkan, malah mendakwa ia berpunca daripada sikap kepimpinan tertinggi parti yang gagal memelihara hubungan baik sesama komponen dalam PN.
Menurut mereka, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Azmin Ali, perlu bertanggungjawab terhadap keretakan yang berlaku sehingga membawa kepada perpecahan dalam gabungan berkenaan.
“Kami amat kecewa dengan sikap BERSATU yang kerap kali melanggar semangat kebersamaan dalam Perikatan Nasional. Keengganan menghormati semangat setiakawan antara parti komponen akhirnya telah memakan diri dan menghancurkan keutuhan koalisi yang dibina dengan susah payah,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut mendakwa pelbagai teguran telah diberikan secara dalaman kepada kepimpinan parti berhubung hala tuju BERSATU dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN, namun pandangan tersebut didakwa tidak pernah diberikan perhatian sewajarnya.
Sebaliknya, mereka mendakwa mekanisme disiplin parti telah digunakan untuk mengekang suara-suara yang berbeza pandangan daripada kepimpinan.
Dalam kenyataan yang bernada tegas itu, kumpulan Ahli Parlimen berkenaan turut menyatakan bahawa BERSATU tidak lagi mempunyai nilai strategik dalam PN, malah mendakwa kedudukan parti itu semakin lemah dari segi sokongan wakil rakyat.
“Jika BERSATU kekal dalam PN, maka kelemahan BERSATU dan keangkuhan Tan Sri Muhyiddin akan melumpuhkan PN,” kata mereka.
Sehubungan itu, mereka mendesak agar BERSATU dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional atau mengambil keputusan untuk keluar secara sukarela demi menyelamatkan masa depan gabungan tersebut.
Mereka juga menggesa supaya semua jawatan politik yang disandang wakil BERSATU dalam kerajaan negeri yang berkaitan, termasuk kedudukan Exco, disemak dan dirombak selaras dengan perubahan landskap politik semasa.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan, Ahli Parlimen Lumut Komander Nordin Ahmad Ismail (B), Ahli Parlimen Rompin Datuk Abdul Khalib Abdullah, Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Muslimin Yahaya, Ahli Parlimen Mersing Muhammad Islahuddin Abas, Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan, Ahli Parlimen Ketereh Datuk Khlir Mohd Nor, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.
Desakan tersebut dilihat sebagai satu lagi tekanan besar terhadap kepimpinan BERSATU ketika parti itu berdepan kemelut dalaman dan perubahan besar dalam hubungan politik pembangkang pasca keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan parti berkenaan.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.