
KUALA LUMPUR | 5 Julai 26 – Presiden Parti Wawasan Negara (PWN), Hamzah Zainudin disifatkan sebagai seorang pemimpin yang mudah menyatukan pelbagai pihak kerana tidak pernah dilihat obses mengejar jawatan Perdana Menteri.
Setiausaha Agung WAWASAN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sikap itu menjadikan Hamzah lebih mudah diterima oleh pemimpin daripada pelbagai latar belakang politik, sekali gus memudahkan usaha membina persefahaman demi kepentingan negara.
“Saya pun tak tahu mengapa, tapi mungkin sebab dia tak obses nak jadi Perdana Menteri. Jadi orang semua okeylah, Hamzah okey.
“Sebab dia tak obses nak jadi apa-apa. Karakter dia yang mudah, itu memang semua orang tahu. Dia mudah didekati, dia beramah,” katanya ketika di wawancara oleh politiko.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan pendekatan Parti Wawasan Negara dalam menggerakkan agenda Konsensus Nasional.
Menurut Saifuddin, kejayaan membina jambatan antara pemimpin politik bukan hanya bergantung kepada kesediaan seseorang untuk bertemu, sebaliknya turut memerlukan kesediaan pihak yang satu lagi untuk menerima pelawaan tersebut.
Katanya, sehingga kini, setiap kali Hamzah mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik, mereka lazimnya bersedia untuk duduk semeja kerana memahami tujuan pertemuan itu adalah bagi membincangkan usaha memperkukuh perpaduan negara, bukannya memenuhi cita-cita politik peribadi.
“Saya rasa kenapa Hamzah mudah diterima, dia ada dua. You mungkin nak pergi jumpa orang untuk bincang, tapi kalau orang itu tak nak, tak jadi juga.
“Hamzah setakat hari ini apabila dia nak jumpa dengan sesuatu pemimpin, pemimpin itu juga sedia nak jumpa dia.
“Sebab orang itu tahu, dia nak cerita pasal apa? Perpaduan. Okey.”
Saifuddin berkata, persepsi bahawa Hamzah tidak mempunyai obsesi untuk menjadi Perdana Menteri turut menyumbang kepada keselesaan pemimpin lain untuk mengadakan perbincangan dengannya.
“Sebab orang itu tahu, dia ini bukan ada cita-cita nak jadi Perdana Menteri pun. Kalau jadi, itu cerita lain.
“Tetapi dia tidak obses untuk menjadi Perdana Menteri dan setakat yang saya tahu, dia tak pernah sebut soal nak jadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, budaya politik seperti itu penting bagi menjayakan usaha membina konsensus nasional yang menuntut kerjasama merentas parti dan ideologi.
Pada masa sama, Saifuddin menegaskan bahawa Konsensus Nasional yang dibawa Parti Wawasan Negara bermula dengan persetujuan terhadap perkara-perkara asas yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Katanya, semua pihak boleh berbeza pandangan mengenai dasar, manifesto atau pendekatan pentadbiran, namun perkara-perkara fundamental yang menjadi tiang seri negara tidak seharusnya terus dipertikaikan.
“Yang jadi masalah selalunya ialah perkara ranting itu berbahas sampai ke subuh.
“Yang fundamental itu kita kena setuju dulu. Yang dah ada di depan kita ialah Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Ini dua tonggak utama,” katanya.
Rakaman wawancara ini boleh ditonton di sini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.