
JOHOR BAHRU | 6 Julai 26 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin Johor bakal menjadi titik permulaan kebangkitan gelombang politik baharu yang akan memberi kesan kepada landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Berucap pada Himpunan RESET Johor, beliau berkata walaupun Gerakan RESET tidak bertanding secara langsung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seluruh jenteranya akan memainkan peranan membantu memastikan gelombang perubahan bermula dari negeri itu.
Menurutnya, beliau sendiri hadir dari Machang ke Johor atas amanat Presiden RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mahu melihat Johor menjadi pencetus kepada kebangkitan politik menuju Putrajaya.
“Kalau kita mahu melihat kita semua menuju Putrajaya pada PRU16, pastikan gelombang itu bermula di Johor minggu ini,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, setiap ahli RESET di seluruh kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor memiliki pengaruh serta jumlah pengundi yang mampu memberi kelebihan kepada calon-calon yang bertanding menentang Pakatan Harapan (PH).
Beliau mendakwa sokongan akar umbi gerakan itu tidak boleh dipandang ringan walaupun RESET tidak berada dalam gelanggang pertandingan secara rasmi.
“Kami mempunyai undi yang akan memenangkan mereka dalam pilihan raya negeri pada hujung minggu depan. Jangan pandang rendah atau memperlekehkan Gerakan RESET di Johor,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata RESET menghormati keunikan politik Johor dan tidak akan mencampuri pendekatan yang diguna pakai di negeri itu.
Namun, katanya, gerakan berkenaan tetap mahu menghantar mesej jelas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa landskap politik negara bakal berubah.
“Anwar Ibrahim akan sedar bahawa bermula minggu hadapan beliau akan berdepan dengan kebangkitan satu gelombang yang tidak pernah beliau lihat sepanjang lima tahun sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, kebangkitan itu tidak akan terhenti di Johor, sebaliknya akan diteruskan ke Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya ke seluruh negara sebagai persediaan menghadapi PRU16. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.