Kerajaan Pusat Didesak Semak Pajakan Pulau Pinang Susulan Titah Sultan – RESET Kubang Pasu

ALOR SETAR | 6 Julai 26 – Desakan supaya Kerajaan Persekutuan menyemak semula kadar pajakan Pulau Pinang semakin mendapat sokongan apabila aktivis RESET Kubang Pasu, Ahmad Zaki Zainul, menggesa kerajaan bertindak segera menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang mahu nilai pajakan itu dikaji mengikut realiti ekonomi semasa.

Menurut beliau, titah baginda bukan sekadar menyentuh soal kewangan, sebaliknya membabitkan maruah, hak dan kedaulatan sejarah negeri Kedah yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Katanya, kadar pajakan yang diterima Kedah ketika ini tidak lagi mencerminkan nilai sebenar Pulau Pinang yang telah berkembang pesat sebagai antara pusat ekonomi utama negara.

“Titah Tuanku jelas memberi isyarat bahawa sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengkaji semula nilai pajakan berdasarkan keadaan ekonomi semasa. Kadar sedia ada sudah tidak munasabah dan tidak menggambarkan nilai pasaran Pulau Pinang hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zaki berkata, semakan semula kadar pajakan mampu memberikan pulangan yang lebih adil kepada Kedah sekali gus membolehkan kerajaan negeri memperkukuh pembangunan prasarana, memperkasakan sektor pertanian serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada golongan muda.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menilai semula formula pembayaran pajakan supaya lebih adil dan selaras dengan perkembangan ekonomi semasa.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan muda di Kedah akan terus berdiri teguh di belakang institusi Kesultanan dalam mempertahankan hak serta kepentingan negeri.

“Kami menjunjung penuh titah Tuanku dan akan terus menjadi benteng mempertahankan hak serta kedaulatan Kedah demi kepentingan rakyat dan generasi akan datang,” katanya.

Isu semakan kadar pajakan Pulau Pinang kembali menjadi perhatian selepas DYMM Sultan Kedah membangkitkan perkara itu dalam titah sempena Hari Keputeraan baginda, dengan menegaskan bahawa nilai pajakan tersebut wajar dikaji semula berdasarkan realiti ekonomi dan perkembangan semasa. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share