
ALOR SETAR | 8 Julai 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Negeri Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Kedah yang menzahirkan hasrat agar Langkawi dikembalikan sebagai pulau bebas cukai seperti sebelum ini.
Wakil WAWASAN Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis berkata, langkah itu diyakini mampu mengembalikan daya saing ekonomi Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Menurut beliau, status bebas cukai merupakan antara faktor utama yang merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi di pulau peranginan tersebut, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada peniaga serta penduduk setempat.
“Langkawi merupakan pemacu utama sektor pelancongan dan ekonomi Kedah. Status bebas cukai yang lebih berdaya saing akan membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi, menarik lebih ramai pelancong serta memberi manfaat kepada peniaga dan penduduk tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, Abdul Razak menggesa Kerajaan Persekutuan mencari penyelesaian yang lebih konkrit terhadap isu penyalahgunaan kenderaan bebas cukai yang sering dijadikan alasan untuk tidak mengembalikan keistimewaan tersebut.
Beliau berpandangan isu penguatkuasaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan kelebihan ekonomi yang telah lama dinikmati oleh Langkawi.
Katanya, dengan kerjasama semua pihak, kerajaan mampu mewujudkan mekanisme penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi membendung penyalahgunaan tanpa menjejaskan status bebas cukai pulau berkenaan.
“Parti Wawasan Negara yakin penyelesaian yang seimbang dapat dicapai agar penyalahgunaan dapat dibanteras, sekali gus membolehkan Langkawi kembali menikmati status bebas cukai yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober 2025. Kerajaan mengumumkan untuk mengehadkan pengecualian cukai kenderaan hanya untuk yang bernilai RM300,000 dan ke bawah. Langkah ini diambil bagi mengekang ketirisan cukai oleh golongan maha kaya yang menyalahgunakan status pulau bebas cukai untuk membeli kenderaan mewah (supercar) seperti Ferrari dan Lamborghini.
Terdahulu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menegaskan Pulau Langkawi perlu dibangunkan berasaskan identiti dan keunikan tersendiri, tanpa meniru atau dibandingkan dengan destinasi pelancongan terkenal seperti Phuket di Thailand atau Bali di Indonesia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.