Senator BERSATU Umum Keluar Parti, Dijangka Sertai Wadah Baharu

KANGAR | 9 Julai 26 – Satu-satunya Ahli Dewan Negara daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Senator Azahar Hassan mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta keluar daripada BERSATU, sekali gus mencetuskan spekulasi beliau bakal menyertai sebuah wadah politik baharu.

Keputusan itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh 7 Julai 2026 yang ditujukan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan diterima pada 9 Julai 2026.

Dalam surat berkenaan, Azahar berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira perkembangan dan landskap politik semasa serta melalui pertimbangan yang mendalam.

“Saya dengan ini meletakkan jawatan daripada semua jawatan yang saya sandang dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan daripada tiga jawatan yang disandang iaitu Timbalan Ketua Bahagian Kangar, Setiausaha Badan Pimpinan Negeri Perlis dan Ketua Cawangan Hutan Melintang.

Selain itu, Azahar turut mengisytiharkan keluar sebagai ahli BERSATU berkuat kuasa mulai tarikh surat berkenaan.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan prinsip, pendirian serta pertimbangan peribadi bagi meneruskan hala tuju perjuangan yang diyakininya.

“Keputusan ini juga dibuat dengan penuh rasa hormat terhadap parti serta seluruh warga perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang telah bersama-sama melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh penglibatan saya,” katanya.

Azahar bagaimanapun tidak menjelaskan sebab khusus beliau meninggalkan BERSATU mahupun destinasi politik seterusnya.

Namun, menurut sumber, beliau dijangka menyertai wadah politik baharu yang sedang digerakkan di peringkat nasional bersama beberapa bekas pemimpin dan ahli BERSATU dalam masa terdekat.

Pengunduran Azahar dilihat sebagai tamparan kepada BERSATU memandangkan beliau merupakan satu-satunya wakil parti itu di Dewan Negara, ketika parti berkenaan berdepan beberapa siri perubahan landskap politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

MBIP Batal Lesen Network School

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat mengikut proses dan peruntukan undang-undang selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.
Read More

Pengampunan Najib Ditangguh, PAS Persoal: Ada Arahan Atau Bantahan?

“PAS beranggapan penangguhan permohonan Dato’ Sri Mohd Najib di hadapan Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut tidak akan berlaku secara sendirinya melainkan terdapat arahan dan/atau bantahan daripada mana-mana pihak sama ada dari kalangan ahli-ahli Lembaga ataupun dari mana-mana pihak ketiga lain yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan media.
Read More
Total
0
Share