
KUALA LUMPUR | 10 Julai 26 – EXCO Armada Nasional dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Aziman Hadi Nazri mengumumkan peletakan jawatan serta bertuindak keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman itu menambah lagi senarai pemimpin yang meninggalkan kepimpinan BERSATU ketika parti berdepan gelombang peletakan jawatan melibatkan beberapa tokoh kanan dalam tempoh kebelakangan ini.
Dalam kenyataannya, Aziman merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti, rakan seperjuangan serta seluruh ahli yang telah memberikan kepercayaan dan sokongan sepanjang beliau menggalas amanah dalam parti.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan dan ahli Armada di semua peringkat yang bersama-sama memperjuangkan agenda anak muda serta memperkukuhkan parti.
“Segala pengalaman, persahabatan dan ruang perjuangan yang diberikan akan sentiasa saya hargai,” katanya.
Bagaimanapun, Aziman tidak menyatakan sebab peletakan jawatannya atau hala tuju politik beliau selepas meninggalkan kepimpinan Bersatu.
Peletakan jawatan itu dilihat terus memberi tekanan kepada BERSATU yang kini berdepan kehilangan beberapa pemimpin utama, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kestabilan dalaman parti menjelang landskap politik yang semakin mencabar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.