PH Gagal Yakinkan Rakyat Johor, Wawasan Negara Ucap Tahniah Kepada BN

KUALA LUMPUR | 12 Julai 26 – Parti Wawasan Negara mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai manifestasi kehendak rakyat yang dibuat secara matang dan bebas.

Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata keputusan tersebut membuktikan pengundi Johor membuat pilihan berdasarkan isu sebenar, bukannya dipengaruhi serangan politik atau persepsi yang dimainkan sepanjang kempen.

“Rakyat Johor akhirnya memberikan jawapan mereka di peti undi. Mereka tidak menolak sesiapa kerana slogan semata-mata, tetapi jelas tidak menerima pendekatan politik yang memandang rendah kebijaksanaan pengundi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, kempen Pakatan Harapan (PH), khususnya yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih tertumpu kepada menyerang lawan politik berbanding menawarkan penyelesaian terhadap masalah rakyat.

Katanya, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, ekonomi negeri dan masa depan golongan muda tidak diberikan perhatian sewajarnya, sebaliknya kempen dipenuhi dengan label politik, persepsi serta retorik mengenai “gelombang hijau” yang disifatkan tidak lagi berkesan.

Wan Ahmad Fayhsal berkata kemerosotan sokongan PH, termasuk di beberapa kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat mereka, bukan sekadar perubahan angka pilihan raya tetapi menjadi amaran bahawa rakyat sentiasa menilai prestasi sebenar sesebuah kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata Parti Wawasan Negara akan terus membantu Perikatan Nasional memperkukuh pendekatan dan strategi bagi memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Dalam PRN Johor kali ini, Wawasan Negara mengambil keputusan untuk tidak menyertainya. Namun, Wawasan Negara mengesahkan akan menyertai PRN Negeri Sembilan yang akan diadakan bulan ini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share