
JOHOR BAHRU | 12 Julai 26 – Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) Johor berpandangan kemerosotan ketara sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 berpunca daripada kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berlarutan sejak sekian lama.
Penyelaras Majlis Perhubungan Negeri Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, konflik kepimpinan, perpecahan dalaman serta kegagalan menyelesaikan pelbagai isu organisasi telah melemahkan BERSATU sebagai parti tunjang gabungan itu sehingga akhirnya memberi kesan langsung kepada prestasi keseluruhan PN.
Menurut beliau, rakyat menilai keadaan sebenar yang berlaku dalam gabungan tersebut dan mahukan sebuah pakatan politik yang stabil, tersusun serta mampu menawarkan kepimpinan yang diyakini.
“Sebaliknya, apa yang dipaparkan kepada rakyat ialah pertelagahan berpanjangan dan kegagalan mengurus perbezaan secara matang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa pelbagai teguran daripada pimpinan serta akar umbi mengenai kelemahan kepimpinan BERSATU dan pengurusan PN di Johor sebenarnya telah disuarakan sejak tahun 2024, namun tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Katanya, kegagalan mendengar pandangan akar umbi menyebabkan kepimpinan gabungan itu gagal memahami perubahan sentimen pengundi dan harapan rakyat menjelang pilihan raya.
Sehubungan itu, Zulkifli menyifatkan keputusan PRN Johor sebagai isyarat jelas bahawa PN perlu melakukan muhasabah secara menyeluruh, termasuk menilai semula corak kepimpinan, budaya organisasi dan pendekatan politik yang diamalkan selama ini.
“Wawasan Negara percaya politik masa hadapan perlu dipimpin oleh barisan kepimpinan yang lebih terbuka, lebih merendah diri untuk mendengar pandangan dan lebih bersedia membina kesepakatan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Wawasan Negara Johor turut mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat negeri itu yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Keputusan PRN Johor semalam meyaksikan BN mendominasi 48 kerusi manakala PN gagal memenangi sebarang kerusi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.