
JOHOR BAHRU | 22 Julai 26 – Kerajaan Negeri Johor menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) serta mengarahkan semua operasinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa hari ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat mengikut proses dan peruntukan undang-undang selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.
Beliau menjelaskan tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil selepas aduan dan maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti serta semua proses undang-undang disempurnakan.
“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi.
“Kerajaan Negeri akan terus memperketat penyelarasan antara agensi agar sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan media.
Onn Hafiz menegaskan Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri, namun tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
Menurut beliau, dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura. Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi,” katanya.
Beliau turut menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyemak semula status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat atau prinsip yang ditetapkan.
Selain itu, Onn Hafiz berkata semua agensi berkaitan perlu memperketat proses due diligence, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.
Katanya, penyelarasan antara agensi juga perlu diperkukuh supaya setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa dinilai secara menyeluruh daripada aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis dan pematuhan undang-undang.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, tanpa berkompromi terhadap keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan semua perkara berkaitan tindakan terhadap Network School itu telah disembah maklum dan diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Kontroversi membabitkan Network School masih hangat diperkatakan susulan dakwaan bahawa terdapat individu berketurunan atau berkewarganegaraan Israel berada di premis berkenaan menggunakan pasport negara ketiga. Dakwaan tersebut mendorong kerajaan melancarkan siasatan melibatkan aspek imigresen dan keselamatan negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.