
SEREMBAN | 23 Julai 26 – Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendakwa sesebuah kerajaan tidak akan mencapai kestabilan politik yang sebenar sekiranya gagal memperoleh sokongan majoriti daripada kaum majoriti, walaupun memiliki majoriti kerusi di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, pengalaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) membuktikan bahawa kestabilan sesebuah kerajaan bukan sekadar bergantung kepada bilangan kerusi yang dimenangi, tetapi turut dipengaruhi tahap sokongan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut Saifuddin, ketika beliau menjadi Setiausaha Agung PH pada 2018, beliau sendiri telah mengingatkan kepimpinan kerajaan bahawa pentadbiran ketika itu berdepan masalah kestabilan walaupun mempunyai majoriti yang selesa di Parlimen.
“Dalam retreat pertama Kabinet Mahathir 2.0, saya mengatakan kerajaan ini ada masalah. Jumlah kerusi dalam Parlimen itu stabil, selesa, tetapi the undercurrent is not stable,” katanya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, malam tadi.
Beliau mendakwa keadaan itu berlaku kerana kerajaan PH ketika itu hanya memperoleh sokongan kurang daripada 35 peratus daripada kaum majoriti, manakala kira-kira 65 peratus sokongan datang daripada kaum minoriti.
“Kerajaan PH masa Mahathir 2.0 mendapat sokongan daripada kaum majoriti hanya tak sampai 35 peratus tetapi mendapat sokongan daripada kaum minoriti 65 peratus,” katanya.
Menurut beliau, keadaan yang sama didakwa sedang dihadapi kerajaan Persekutuan hari ini apabila mendapat sokongan majoriti daripada kaum minoriti tetapi hanya menerima sokongan minoriti daripada kaum majoriti.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil dari sudut psikologi politik walaupun terus mentadbir negara.
“Kerajaan di Putrajaya mendapat sokongan majoriti daripada kaum minoriti tetapi mendapat sokongan minoriti daripada kaum majoriti,” katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata sesebuah kerajaan yang benar-benar matang dan stabil perlu mempunyai dua bentuk legitimasi secara serentak, iaitu majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri serta sokongan yang kukuh daripada masyarakat pelbagai kaum, khususnya kaum majoriti.
Katanya, hanya dengan gabungan kedua-dua faktor itu, kerajaan mampu mentadbir dengan lebih tenang, matang dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Politik Malaysia yang matang dan stabil, susunan aturannya harus ada kestabilan di atas, yakni jumlah kerusi di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat, dan juga apa yang berlaku di bawah.
“Barulah yang di atas itu boleh berfikir dengan tenang. Barulah yang di atas itu boleh berfikir dengan matang. Barulah rakyat akan mendapat nikmat dan manfaat daripada sebuah kerajaan yang baik,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi di Negeri Sembilan menggunakan PRN sebagai medan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang tidak mempunyai sokongan kukuh daripada kaum majoriti tidak mempunyai asas kestabilan politik yang mencukupi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.