
SHAH ALAM | 26 Julai 26 – Isu pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan akan terus berdepan konflik sekiranya kerajaan sedia ada dikekalkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), dakwa dua panel dalam satu sesi podcast yang membincangkan kedudukan institusi pemerintahan negeri.
Tua Lembaga Waris Di Darat, Dato’ Andulika Mandalika, Sazali Mohamed Yasin, mendakwa sekiranya Menteri Besar sedia ada kembali membentuk kerajaan, konflik berhubung pelantikannya akan terus berlarutan.
Menurut beliau, walaupun seseorang boleh menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk dilantik sebagai Menteri Besar, proses itu menurut dakwaannya turut melibatkan persetujuan Undang Yang Empat.
“Sekiranya kerajaan lama menang semula, konflik ini akan berpanjangan. Dia mungkin boleh menghadap Yang di-Pertuan Besar, tetapi tidak mendapat persetujuan Datuk Undang Yang Empat,” katanya dalam satu podcast bersama Isham Jalil, baru-baru ini.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini yang menurutnya berlaku kerana ketiadaan kehadiran pihak Undang.
Katanya, sekiranya keadaan itu berulang, urusan persidangan Dewan Undangan Negeri juga berpotensi terus tertangguh.
“Cuba kita perhatikan selepas ini kalau berlaku juga macam tu. Bila lagi dewan negeri nak bersidang? Tak selesai-selesai.
“Itu saya kata, masalah akan berpanjangan. Jadi mahu tak mahu, maknanya kita mengharapkanlah, kalau boleh biarlah kerjaan baru untuk selesaikan masalah ini. Ujarnya.
Sehubungan itu, Sazali berpandangan pembentukan kerajaan baharu selepas PRN merupakan jalan terbaik bagi menamatkan konflik yang didakwanya sedang berlaku. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.