
KUALA LUMPUR: | 31 Julai 26 – Presiden Malaysian Advancement Party (MAP), Waytha Moorthy Ponnusamy mendakwa permohonan maaf Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pelabelan kuil Hindu sebagai “haram” bukan lahir daripada penyesalan sebenar, sebaliknya hanya usaha mengawal kerosakan politik.
Dalam kenyataan yang mengandungi sembilan hujah, Waytha berkata rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama perlu menolak permohonan maaf tersebut kerana menurutnya isu berkenaan memerlukan penjelasan serta tindakan pembetulan yang lebih bermakna.
“Permohonan maaf ini bukanlah suatu penyesalan yang ikhlas. Sebaliknya, ia hanyalah satu usaha politik untuk mengawal kerosakan yang berlaku selepas beliau menyedari bahawa pengundi India bersedia menghukum Pakatan Harapan dalam pilihan raya Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau mendakwa Anwar cuba mewujudkan persepsi bahawa beliau telah memohon maaf dalam satu forum di Universiti Malaya, sedangkan menurut Waytha, apa yang dinyatakan hanyalah bahawa kenyataannya telah “disalah tafsir”.
“Menjenamakan semula perkataan ‘disalah tafsir’ sebagai suatu permohonan maaf bukanlah tanda keinsafan, sebaliknya satu percubaan untuk memperdayakan rakyat,” katanya.
Waytha turut mendakwa Anwar merupakan Perdana Menteri pertama yang secara terbuka melabelkan kuil-kuil Hindu sebagai “haram”, sambil mempersoalkan kegagalan kerajaan memberikan penjelasan mengenai kedudukan sejarah rumah ibadat tersebut.
Selain itu, beliau mendakwa kenyataan Anwar telah mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, termasuk memberi ruang kepada tindakan pihak tertentu yang melabelkan kuil Hindu sebagai “haram” di platform digital.
Waytha berkata beliau sebelum ini telah menggesa kerajaan mengambil beberapa tindakan, termasuk mengadakan mesyuarat khas Kabinet dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menilai keadaan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
Beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan perkembangan politik semasa apabila mendakwa permohonan maaf Anwar dibuat kerana kebimbangan terhadap sokongan pengundi India kepada Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Waytha menegaskan permohonan maaf sebenar perlu disertai dengan pengakuan, kebertanggungjawaban dan tindakan pembetulan, bukannya sekadar kenyataan untuk meredakan kontroversi.
Media hari ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi permohonan maaf kepada masyarakat India susulan penggunaan istilah yang disifatkan beliau tidak tepat sebelum ini, sambil mengakui tersilap memilih perkataan ketika menyampaikan pandangan.
Beliau berkata, permohonan maaf itu dibuat kerana tidak berniat menyinggung mana-mana pihak, sebaliknya, mengakui, penggunaan istilah berkenaan telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sebahagian masyarakat India. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.