BERSATU Terkeluar PN? Hadi Tegaskan Gabungan Baharu Bercanggah Dengan Peraturan PN

KUALA LUMPUR | 7 Ogos 26 – Kedudukan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) kini menjadi persoalan selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan tindakan parti itu membentuk gabungan politik baharu menyebabkan keahlian BERSATU dalam PN gugur secara automatik.

Memetik laporan Berita Harian hari ini, Abdul Hadi berkata, tindakan mana-mana parti komponen PN yang membentuk pakatan atau gabungan baharu di luar PN adalah bercanggah dengan peraturan gabungan tersebut.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat parti itu membentuk satu gabungan baharu bersama beberapa pihak lain sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai masa depan hubungan antara PAS dan BERSATU yang sebelum ini menjadi tunjang utama PN sejak penubuhannya.

17 Julai lalu, media melaporkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membentuk sebuah gabungan baharu yang lebih hebat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Bagi BERSATU, langkah membentuk gabungan baharu dilihat sebagai usaha menyusun semula kekuatan politik dengan memperluaskan kerjasama bersama parti-parti lain.

Namun bagi PAS, tindakan tersebut dianggap sebagai keputusan yang membawa implikasi terhadap kedudukan BERSATU dalam PN.

Sekiranya pendirian PAS kekal bahawa BERSATU telah terkeluar daripada PN, ia bakal mengubah landskap politik pembangkang menjelang PRU16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share