BERSAMA Langkah Awal, Umum Calon PRN Melaka

KUALA LUMPUR | 12 Ogos 26 — Parti BERSAMA akan membuat langkah awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila mengumumkan calon-calonnya pada 15 Ogos ini, sekali gus memperkenalkan barisan yang bakal membawa cabaran parti itu di negeri berkenaan.

Wakil BERSAMA, Rafizi Ramli berkata, pengumuman calon akan berlangsung pada sebelah malam bermula jam 8 malam, manakala sebelah paginya akan diisi dengan program Kenduri BERSAMA bersama rakyat Melaka.

Menurutnya, calon yang bakal diperkenalkan terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan penekanan diberikan kepada barisan yang segar, berpengalaman dalam bidang masing-masing serta terdiri daripada individu biasa yang menjalani kehidupan seperti rakyat kebanyakan.

“Calon-calon BERSAMA di Melaka mungkin bukan nama besar. Ada yang tidak pernah memegang jawatan politik atau berdiri di pentas ceramah.

“Tetapi mereka membawa pengalaman kehidupan sebenar dan suara yang boleh mewakili rakyat Melaka,” katanya.

Rafizi berkata, BERSAMA juga mahu membawa pendekatan politik berbeza dengan tidak terperangkap dalam polemik perebutan kuasa antara parti-parti politik sedia ada.

“Kami mahu memberikan pilihan kepada orang Melaka supaya akhirnya, politik kembali kepada perkara yang paling penting: bagaimana kita boleh menjadikan kehidupan rakyat lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pada malam pengumuman itu, BERSAMA turut akan mengumumkan jumlah kerusi yang akan ditandingi selain mendedahkan kerusi-kerusi yang dipilih serta memperkenalkan calon parti lebih awal kepada rakyat Melaka.

Majlis pengumuman calon itu dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos 2026, dari jam 8 malam hingga 11 malam di tapak parkir di hadapan 906 Premier Hotel, Melaka Baru.

Rafizi turut mengakui BERSAMA tidak mempunyai semua kelebihan yang dimiliki parti-parti politik yang telah lama bertapak dalam politik negara.

Namun, katanya, jika rakyat mahukan pendekatan politik yang berbeza, perubahan itu perlu dimulakan oleh pihak yang berani mengambil langkah pertama.

“Kami mungkin tidak mempunyai semua kelebihan yang dimiliki oleh parti-parti yang sudah puluhan tahun berada dalam politik.

“Tetapi kalau rakyat mahukan politik yang berbeza, seseorang perlu berani memulakannya,” katanya.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 dijadualkan tamat secara automatik pada 27 Disember 2026. Mengikut Perlembagaan, Pilihan Raya Negeri (PRN) mesti diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran rasmi DUN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share