“Persidangan DAP Hanya ‘Drama’ Untuk Redakan Kemarahan Penyokong” – Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 14 Ogos 26 – Naib Presiden Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Persidangan Kebangsaan DAP Ahad ini sebagai sekadar “drama” politik untuk meredakan kemarahan dan kekecewaan penyokong parti itu susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam tiga pilihan raya negeri, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Wan Saiful berkata, beliau tidak percaya DAP benar-benar akan mengambil keputusan untuk keluar daripada Kerajaan MADANI meskipun lebih 4,000 perwakilan parti itu dijangka menentukan pendirian berhubung kedudukan DAP dalam kerajaan secara sulit.

“Ahad ini, Persidangan Kebangsaan DAP kononnya akan menentukan sama ada mereka mahu kekal atau keluar daripada Kerajaan MADANI. Kononnya 4,000 lebih perwakilan akan buat keputusan secara sulit. Ada sesiapa percaya DAP berani keluar kerajaan?” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, isu kemungkinan DAP meninggalkan kerajaan hanya dijadikan “gula-gula manis” bagi melembutkan hati ahli dan penyokong parti yang semakin kecewa selepas keputusan tiga PRN berkenaan.

Beliau menjangkakan DAP akan terus bersama Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal, dengan alasan kestabilan negara dan politik digunakan untuk mempertahankan keputusan tersebut.

Wan Saiful mendakwa, hakikatnya DAP tidak mahu melepaskan kedudukan dan kuasa yang sedang dinikmati, termasuk jawatan dalam kerajaan yang menurutnya memberi manfaat kepada pemimpin serta penyokong parti.

Beliau turut mendakwa hujah mengenai kestabilan negara hanya menjadi “topeng” untuk menutup apa yang disifatkannya sebagai kegagalan kerajaan dalam mentadbir, mengurus ekonomi, menjaga kebajikan rakyat dan menunaikan janji politik.

Pada masa sama, Wan Saiful mendakwa keputusan PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan isyarat penolakan rakyat terhadap agenda politik DAP.

“Kalau takut nak keluar, tak payah lah berdrama. Bagitahu saja kepada rakyat bahawa DAP sudah mabuk dengan kuasa dan tak peduli jika berada dalam kerajaan yang gagal,” katanya.

Persidangan Kebangsaan DAP Ahad ini dijangka menjadi perhatian kerana keputusan perwakilan parti itu berhubung kedudukannya dalam Kerajaan MADANI berpotensi memberi kesan terhadap kestabilan kerajaan serta hala tuju politik Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Hadi: DAP Tak Sama Dengan MCA, MIC

Menurut Abdul Hadi, MCA dan MIC merupakan antara parti yang lebih awal ditubuhkan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan kedua-duanya menerima kerangka negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta mengiktiraf kebebasan beragama.
Read More
Total
0
Share