
KUALA LUMPUR | 20 Ogos 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa isu rasuah kini digunakan sebagai senjata politik untuk menjatuhkan lawan, selain mendakwa tindakan penguatkuasaan dilakukan secara terpilih.
Menurutnya, tindakan terhadap kes rasuah tidak seharusnya hanya dikenakan terhadap penerima rasuah, sebaliknya turut melibatkan pemberi dan orang tengah yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Adapun hari ini tindakan diambil terhadap penerima rasuah sahaja, malah dilakukan pula secara terpilih.
“Ada yang diambil tindakan, ada tindakan separuh jalan kerana kedudukan pangkatnya, dan ada yang dibiarkan kerana lebih tinggi pangkatnya,” katanya menerusi tulisan terbaharunya, Minda Presiden PAS.
Hadi mendakwa keadaan itu menyebabkan isu rasuah digunakan sebagai alat politik, khususnya apabila tindakan dikenakan terhadap pihak tertentu tetapi pihak lain yang didakwa turut terbabit tidak dikenakan tindakan.
Beliau turut mendakwa ada individu yang disiasat kerana melawan kerajaan, manakala siasatan terhadap pihak tertentu sengaja dipanjangkan.
“Perkara ini merupakan satu kezaliman. Semua yang salah wajib diambil tindakan, jangan melakukan tindakan yang terpilih sahaja,” katanya.
Dalam tulisan sama, Hadi turut mengaitkan isu rasuah dengan kedudukan orang Melayu dalam sektor pentadbiran kerajaan.
Beliau mendakwa orang Melayu yang beragama Islam menjadi sasaran pemberi rasuah kerana mereka merupakan kelompok terbesar dalam pentadbiran, khususnya penjawat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Kerana Melayu paling ramai berada dalam pentadbiran, menyebabkan mereka paling banyak menjadi sasaran pemberi rasuah,” katanya.
Hadi bagaimanapun mendakwa penglibatan orang bukan Islam dalam kegiatan rasuah, khususnya sebagai pemberi dan orang tengah, lebih besar berbanding orang Islam.
Beliau turut mengaitkan dakwaan itu dengan penguasaan kegiatan ekonomi oleh kelompok bukan Islam, termasuk kartel, peniaga gelap dan penyeludup.
Dakwaan tersebut dibuat Hadi tanpa mengemukakan statistik atau data khusus bagi menyokong perbandingan antara penglibatan orang Islam dan bukan Islam dalam kegiatan rasuah.
Dalam pada itu, beliau mendakwa institusi yang membawa jenama Islam lebih mudah dijadikan sasaran apabila berlaku salah laku.
Hadi mengambil contoh Tabung Haji yang menurutnya dijadikan tajuk utama berikutan kesalahan segelintir pihak, sedangkan sumbangan mereka yang membangunkan institusi itu jauh lebih besar.
“Kesalahan Tabung Haji dijadikan tajuk utama kerana jenama Islamnya menjadi sasaran,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang didakwanya tidak lagi mendapat perhatian selepas prosiding mahkamah berjalan separuh jalan.
Hadi pada masa sama mendakwa terdapat banyak institusi perniagaan milik kerajaan dan separa kerajaan yang mengalami kerugian akibat kebocoran dan salah laku, namun kurang mendapat perhatian.
Beliau turut menyifatkan pengisytiharan perang terhadap rasuah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai “gendang kosong”.
“Tempikan slogan perangi rasuah dan memburu sakau sampai ke lubang cacing laksana pencuri yang melepaskan diri dengan sama-sama melaungkan, ‘Pencuri! Pencuri!’ bersama pemburunya bagi helah melepaskan dirinya,” katanya.
Hadi berkata Islam meletakkan rasuah sebagai kemungkaran yang wajib dicegah dan tindakan terhadapnya tidak sepatutnya bergantung kepada kepentingan politik.
Katanya, tindakan hanya terhadap pihak lawan sedangkan pihak sendiri dilindungi daripada siasatan atau pendakwaan akan menyebabkan usaha membanteras rasuah kehilangan makna.
Beliau turut mendakwa kerajaan negeri yang ditadbir PAS, khususnya Kelantan, bersih daripada rasuah dan salah laku sepanjang lebih 30 tahun.
“Semua kerajaan negeri yang dikuasai oleh PAS bersama Islam, khususnya di Kelantan selama lebih 30 tahun bersih daripada rasuah dan salah laku,” katanya.
Hadi menegaskan usaha membanteras rasuah perlu berasaskan prinsip Islam dan tidak boleh dijadikan instrumen politik untuk menjatuhkan pihak tertentu.
“Isu rasuah dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan kemungkaran yang hendak dicegah,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu berlaku apabila tindakan penguatkuasaan dibuat secara terpilih terhadap lawan politik, sedangkan pihak yang berkuasa didakwa turut terlibat atau melindungi pihak tertentu daripada tindakan undang-undang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.