Falsafah Perjuangan Parti Wawasan Negara menggunakan frasa ‘perjuangan rakyat Malaysia’. Ini merujuk Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.
Kami ingin menjadi ‘parti berwajah Malaysia’ yang mencerminkan komposisi demografi rakyat dengan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Ia dipilih berbanding ‘parti berbilang kaum’ kerana frasa ini boleh disalah erti. Contohnya, mendakwa berbilang kaum tetapi, hakikatnya, dominan kaum tertentu.
Tujuan kami ialah mencapai kestabilan politik. Antaranya, melalui konfigurasi politik yang stabil, iaitu kerajaan yang mendapat sokongan majoriti daripada golongan majoriti dan sokongan majoriti daripada golongan minoriti.
Namun tujuan kami tidak terhad kepada persoalan ini sahaja. Tujuan kami komprehensif. Termasuk membangun demokrasi matang dan melaksanakan gagasan Konsensus Nasional Baharu.
Tetapi kami perlu bermula dengan sesuatu yang konkrit, iaitu komposisi ahli dan pimpinannya dari peringkat nasional hingga cawangan.
Dengan penjenamaan semula parti ini pada 6 Julai lalu, pelantikan Ahli-ahli Jawatankuasa Pusatnya melibatkan Timbalan Presiden, dua Naib Presiden dan lapan AJK bukan-Melayu/Islam.
Pengerusi Majlis-majlis Perhubungan Negeri (Penaja) dibenarkan melantik tiga AJK untuk memastikan keanggotaannya berbilang kaum/agama.
Pada 28 Ogos lalu, daripada 160 Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik dari seluruh negara (ini kumpulan pertama), terdapat jumlah bukan-Melayu/Islam yang signifikan. Contohnya, bagi Pulau Pinang, separuh daripadanya bukan-Melayu/Islam.
Ketua-ketua Bahagian (Penaja) diarahkan supaya AJK Bahagian (Penaja), Ketua dan AJK Cawangan-cawangan (Penaja) serta keahliannya adalah pelbagai kaum/agama.
Arahan yang sama diberikan kepada Ketua Pergerakan Wanita (Penaja), Dayang Saniah Awang Hamid dan Ketua Pergerakan Pemuda (Penaja), Muhammad Faiz Rahmad yang dilantik pada 1 September lalu.
Di khalayak, komitmen ini telah kami buktikan dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, di mana satu daripada empat calon kami ialah bukan-Melayu/Islam.
Namun, kami sedar akan kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada kami.
Contohnya, ada yang menuduh kami mengamalkan politik perkauman. Pada kami, ada beza antara politik yang memperjuang nasib sesuatu kaum dengan yang menghalang nasib kaum lain. Kami memperjuangkan nasib semua kaum. Namun, bagi kaum yang ketinggalan, mereka wajar dibantu. Tetapi tidak ada kaum yang dihalang atau menampakkan belang.
Ada yang menuduh kami mengamalkan politik identiti. Pada kami, ini istilah gunaan pihak tertentu. Identiti tidak menyalahi agama dan perlembagaan negara. Apa yang salah ialah mendiskriminasi dan/atau didiskriminasi dek kerana identiti. Atau salah tafsir makna politik identiti.
Ada yang menuduh kami mengamalkan konsep consociationalism iaitu aturan perkongsian kuasa yang ditentukan elitis kaum. Tetapi, kami bukannya parti satu kaum yang menjadi premis konsep tersebut. Memanglah kami belum mencapai tahap centripetalism iaitu pertengahan (centrist) dan kesederhanaan (moderation) yang ideal. Namun, kami sedang berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan.
Pada analisis terakhir, menjadi parti berwajah Malaysia bukanlah sekadar soal angka atau memastikan adanya perwakilan pelbagai kaum/agama sahaja. Sebenarnya, ia mesti diterjemahkan dalam budaya kita berpolitik, iaitu cara-cara membuat keputusan, menentukan keutamaan, menangani perbezaan dan – yang paling penting – memupuk kepercayaan antara semua pihak.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.