Saya menonton rakaman pementasan yang sedang tular ini dengan rasa marah, kecewa dan sangat terkilan walaupun ada yang mengatakan ianya rakaman pada tahun 2018.
Apa pun alasan yang mahu diberikan atas nama seni, atau kebebasan berkarya kreativiti atau isu lama, yang jelas Rukun Negara bukan bahan lawak, bukan juga untuk dijadikan prop pentas, ia tidak boleh dipersenda sesuka hati kerana “Rukun Negara” adalah prinsip asas sebuah negara dalam menjaga perpaduan bukannya persatuan atau pertubuhan, apa lagi jika rukun dalam agama.
Rukun Negara adalah salah satu asas yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia, kerana apabila kita lafaz menjadikannya sebagai pegangan negara maka ia sudah tidak bole dipermainkan, kerana di dalamnya ada unsur yang menyentuh Raja, Negara serta asas kenegaraan. Ia menyentuh soal maruah dan kedaulatan sesebuah negara.
Saya percaya kita sebagai rakyat yang mengamalkan “kebebasan bersuara”, sudah faham tidak semestinya kebebasan itu memberi kita lesen untuk mencarut, memaki hamun dan menghina melampau lampau pada sesiapa pun.
Begitu juga kebebasan berkarya, atau atas nama apa sekalipun kita tetap mempunyai batasan yang perlu dijaga apabila ia menyentuh perkara yang menjadi asas kehidupan bernegara. Kebebasan tidak pernah bermaksud seseorang bebas daripada tanggungjawab.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya tidak rela perkara seperti ini dianggap remeh lalu sengaja mahu dinormalisasikan. Kita boleh berbeza pandangan atau berbeza parti politik dan berbeza fahaman.
Tetapi jangan sampai kita kehilangan rasa hormat terhadap negara yang menjadi tanah air kita bersama. Pelaku adalah rakyat Malaysia dan saya juga rakyat Malaysia dan sebagai orang Melayu, saya melihat mempertahankan maruah negara bukan soal membenci bangsa lain. Jauh sekali dan jadikannya sebagai alasan rasis.
Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada amanah kita untuk mempertahankan adab, kedaulatan Raja dan Negara, Perlembagaan serta nilai-nilai yang membentuk Malaysia tak kira dari bangsa apa sekalipun hatta pendatang Rohingya, Bangla, Champa atau Patani tetap kena menghormati rukun negara lain.
Kita diajar bahawa maruah tidak boleh dijual beli. Kalau maruah bangsa kita dicabar, wajib ke atas kita untuk bersuara membantahnya. Katakanlah kesucian agama disentuh, maka kita wajib bersuara. Begitu juga jika institusi negara dipermainkan dan kalau Rukun Negara dihina, kita juga wajib bersuara.
Saya menyokong agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang. Menteri Perpaduan sendiri telah meminta PDRM dan MCMC menyiasat serta mengambil tindakan jika berlaku pelanggaran undang-undang.
Kita tidak boleh membiarkan prinsip yang dibina selepas sejarah pahit negara diperlakukan sebagai bahan hiburan.
Rukun Negara mesti dihormati kerana kandungannya menyuruh kita mesti menghormati Raja dan Negara. Perlembagaan juga mesti dihormati. Undang-undang mesti dihormati dan maruah Malaysia mesti dipertahankan. Ini bukan soal ekstrem atau sempit tetapi terkait dengan perkara jati diri, soal adab dan maruah serta cinta kepada tanah air
Malaysia adalah tanah air kita. Maka jangan kita biarkan maruahnya dipersendakan.
Haji Rashidi Haris Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.