Bayangkan kisah-kisah berikut:
Kisah 1: Jeneral X telah merampas kuasa daripada pemimpin yang dipilih secara demokratik; membunuh beribu-ribu rakyatnya dan menghalau sejuta lagi. Kini, melalui demokrasi, dia menjadi Presiden X.
Kisah 2: Jeneral Y telah merampas kuasa daripada pemimpin yang dipilih secara demokratik; membunuh beribu-ribu rakyatnya dan disokong ulamak tertentu. Kini, melalui demokrasi, dia menjadi Presiden Y.
Kisah 3: Presiden X dan Y bertemu Perdana Menteri Z yang mendapat kuasa melalui demokrasi tetapi kini menggunakan kuasa untuk menekan demokrasi.
Sebelum ini, saya menyatakan bahawa demokrasi sedang berhadapan masalah-masalah besar. Contohnya, calon diragui, elitis, dinasti, politik wang, rasuah, patronaj, salah guna undang-undang, kempen mahal, iklan jahat, ucapan kebencian dan manipulasi.
Tetapi dengan kisah-kisah ini, dan terdapat contoh-contoh lain juga, maka hakikatnya ialah kita sedang berhadapan dengan ‘demokrasi malang’.
Maka, kerana itulah kita wajib berjuang membangunkan ‘demokrasi matang’.
Di Malaysia, kita dapat membangun demokrasi matang melalui tiga kaedah, iaitu penghayatan Politik Baru, Demokrasi Malaysia yang Pelbagai Kaum dan Moderat serta Aplikasi Perundingan/Syura Berkaitan Demokrasi.
Politik Baru
Ini terdiri daripada dua bahagian. Pertama, Politik Integriti, iaitu mengamalkan politik ilmu, hikmah dan bakti bagi melawan politik ampu/merapu, fitnah/serakah dan undi/manipulasi.
Dan kedua, Kerangka Governans Baru, iaitu mengadakan perundingan yang dijalankan secara penghakupayaan dan perwakilan di dalam dan di antara ketiga-tiga sektor pembangunan (politik/kerajaan, perniagaan/swasta dan masyarakat sivil)
Demokrasi Malaysia yang Pelbagai Kaum dan Moderat
Inimelibatkan dua komponen. Pertama, menghidupkan makna lita’arafu (Al-Hujurat: 13) iaitu meraikan kepelbagaian kaum, agama dan wilayah serta hidup bersama dalam budaya damai.
Dan kedua, membudayakan makna wasatiyyah (Al-Baqarah: 143) iaitu moderat atau kesederhanaan dalam seluruh kehidupan, termasuk politik.
Kedua-dua pemikiran (Politik Baru dan Demokrasi Malaysia) mempunyai dua ciri utama, iaitu ‘keperibadian/sahsiah’ (mereka yang terlibat: ilmuwan, pemimpin, pemilih) dan ‘perundingan’ (struktur, proses, prosedur).
Aplikasi Perundingan/Syura Berkaitan Demokrasi
Kedua-dua ciri (keperibadian/sahsiah dan perundingan) itu memerlukan panduan dan kawalan yang tinggi dan suci. Di sinilah relevannya makna perundingan yang tepat, iaitu terjemahan istilah ‘syura’ (Al-Raysuni).
Iaitu perundingan/syura yang memenuhi maksud, ‘Dan juga (lebih baik bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.’ (Asy-Syura: 38); serta ‘Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan.’ (Ali-‘Imran: 159).
Menurut Hidayah Ahmad Azam, terdapat lima syarat untuk ‘syura benar-benar menjadi syura’, iaitu: orang yang tepat, maklumat yang mencukupi, kebebasan memberi pandangan, pandangan benar-benar dipertimbangkan dan keputusan dipertanggungjawabkan.
Dalam perundingan/syura, keperibadian/sahsiah, ‘adab, ilmu, etika dan integriti adalah fundamental dan tidak boleh dikompromi. Tetapi dalam demokrasi, walaupun kriteria ini penting, tetapi ia sering terpelanting.
Justeru, kita wajib terus menyelidik dan melaksanakan perundingan/syura dengan optimum dalam pelbagai sistem, institusi, kepimpinan dan kerajaan.
Semoga tertegak demokrasi matang dan tenggelam demokrasi malang.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.