
KUALA LUMPUR, 15 APR 25 – Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin berkata isu pencerobohan tanah bukan perkara baru, namun menyatakan rasa hairan mengapa ia seolah-olah terlepas dari pandangan pihak berkuasa.
Kadir yang juga bekas penasihat perdana menteri berkata, lebih-lebih lagi terdapat kawasan yang diceroboh mempunyai tanah yang luas.
“Tidak masuk akal beratus-ratus ekar tanah kerajaan ditebang tebas dan ditanam dengan tanaman kekal seperti durian tanpa dikesan atau diganggu oleh pihak berkuasa untuk berpuluh-puluh tahun lamanya.
“Mesti melibatkan kowtim,” dakwanya, melalui tulisan di media sosial.
Jelas Kadir, kegiatan itu tidak akan mampu dihentikan melalui satu atau dua tindakan penguatkuasaan.
“Tiba-tiba, ada ada pihak lain yang lebih berkuasa dari segi undang-undang dan kewangan berahikan tanah itu. Maka berlakulah tindakan yang tidak semena-mena dan tegas.
“Demikianlah lebih kurang cerita ceroboh tanah. Bukan cerita baru. Dan mustahil akan berhenti dengan satu, dua tindakan,” katanya.
Kegiatan pencerobohan itu pula katanya hanya dikesan apabila berlaku kesilapan daripada penceroboh.
Beliau tidak menolak, apabila pihak yang berkenaan mula menuntut hak, ada kehendak tuan tanah yang gagal dipenuhi, atau tuan tanah tiba-tiba tersedar asetnya dicerobohi.
Dalam kes melibatkan kawasan yang luas katanya, ia melibatkan persekongkolan di antara pihak yang melakukan pencerobohan dengan pihak yang memiliki kuasa.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 200 pokok durian musang king ditebang pihak berkuasa pada 8 April lalu di kawasan tanaman durian musang king di Raub, Pahang kerana kesalahan menceroboh tanah kerajaan.
Difahamkan pencerobohan itu berlanjutan sejak lebih 30 tahun lalu.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak yang terlibat. @politiko.my