
KUALA LUMPUR | 8 Jun 26 – Gerakan RESET dijangka mengumumkan penyertaannya ke dalam arena politik pada Sabtu ini sempena Konvensyen RESET Malaysia yang akan berlangsung di Tanah Merah, Kelantan.
Pemimpin Gerakan RESET, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata pengumuman berhubung hala tuju politik gerakan itu dijangka dibuat oleh pengasasnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam ucapan kemuncak konvensyen berkenaan.
Menurut beliau, konvensyen itu akan menjadi medan untuk memperkenalkan RESET sebagai gerakan rakyat berbilang kaum yang berkongsi aspirasi membina negara yang lebih makmur, adil dan berteraskan tadbir urus berperikemanusiaan.
“Saya juga jangka dalam ucapan kemuncak Hamzah nanti, beliau akan mengumumkan hala tuju politik, terutama berkaitan dengan penyertaan Gerakan RESET ke dalam parti politik,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Wan Saiful enggan mengulas lanjut mengenai parti yang bakal menjadi platform baharu kepada gerakan itu kerana tidak mahu mendahului pengumuman rasmi oleh Hamzah.
Beliau hanya menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu perubahan penting dalam landskap politik negara dan mengajak orang ramai mengikuti konvensyen berkenaan.
Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Hamzah dan kumpulannya akan mengambil alih Parti Cinta Malaysia (PCM), namun perkara itu belum disahkan secara rasmi.
Semalam pula, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata parti yang bakal disertai Hamzah akan mencerminkan wajah Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Rukun Negara serta sejarah dan kebudayaan negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.