Dalam Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan seorang Perdana Menteri hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Namun tidak dinyatakan bagaimana seorang Ketua Pembangkang perlu dipilih di dalam Dewan Rakyat.
Satu-satunya sumber otoriti yang boleh didapati mengenai pelantikan jawatan Ketua Pembangkang adalah berdasarkan peraturan 4A(1), 4A(3) dan 4A(4) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR).
4A(3) PMDR menyatakan “Ketua Pembangkang ertinya berhubungan dengan Majlis Mesyuarat, ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang.”
Manakala 4A(4) PMDR menyebut “Jika berbangkit apa-apa keraguan atau pertikaian tentang siapakah yang sedang atau telah menjadi Ketua Pembangkang pada bila-bila masa yang matan, masalah itu hendaklah diputuskan oleh Tuan Yang di-Pertua dan keputusannya diperakui secara bertulis di bawah tandatangannya adalah muktamad dan konklusif.”
Pada pandangan pembuat PMDR, Ketua Pembangkang adalah “Ketua Kumpulan bagi pihak Pembangkang”.
Pembuat PMDR menyatakan “kumpulan” dan bukan “parti politik”. Ini kerana pembuat PMDR sedar dan tahu bahawa Kumpulan Pembangkang boleh terbentuk dari beberapa gabungan parti politik dan tidak terhad kepada satu parti sahaja.
Sekiranya Ketua Pembangkang dihadkan kepada ketua atau wakil satu parti sahaja, di saat Pembangkang diwakili oleh lebih daripada satu parti politik, sudah tentulah ia akan mendatangkan kekeliruan hasil daripada tafsiran harfiah PMDR yang dirujuk itu tadi.
Jadi dapatlah disimpulkan bahawa pelantikan Ketua Pembangkang tidak semestinya diterjemahkan dari kehendak parti politik semata-mata.
Jadi bagaimanakah Ketua Pembangkang dipilih? Di sini PMDR semakin jelas. Ia menyebut Ketua Pembangkang adalah “Ketua Kumpulan bagi…”.
Persoalannya Kumpulan kepada apa? Ia adalah kumpulan Ahli Majlis Mesyuarat. Isu seterusnya, siapakah “Ahli Majlis Mesyuarat” itu?
Dalam konteks ini, Ahli Majlis Mesyuarat yang dimaksudkan adalah Ahli-Ahli Dewan Rakyat Pembangkang.
Boleh difahami di sini bahawa, “Kumpulan” yang diertikan adalah Kumpulan Ahli-ahli Dewan Rakyat Pembangkang, bukan Kumpulan Ketua-Ketua Parti Politik Pembangkang.
Maka ia semakin jelas dan terang, bahawa, Ketua Pembangkang hendaklah dipilih oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat, bukan parti politik.
Benar, amalan-amalan terdahulu, parti politik menentukan siapa yang patut dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Amalan ini sama seperti amalan turun temurun yang pernah diamalkan satu ketika dahulu, (sedangkan ia adalah amalan yang salah), iaitu sesiapa yang menjadi Presiden UMNO hendaklah menjadi Perdana Menteri.
Sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada pun mana-mana bahagian yang menyebut Presiden atau ketua parti hendaklah dilantik menjadi Perdana Menteri.
Hanya sebab ia merupakan suatu amalan, tidak semestinya ia adalah amalan yang betul menurut undang-undang.
Apakah kepentingan Ketua Pembangkang dipilih oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi pihak Pembangkang?
Sangat penting. Bayangkan jika Ketua Pembangkang tidak mendapat kepercayaan dan sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat Pembangkang, maka segala arahan dan ketetapan Ketua Pembangkang tidak akan dipatuhi dan ini akan menyebabkan kacau bilau dalam usaha menyemak dan imbang kerajaan. Oleh yang demikian, tempanglah sistem demokrasi negara.
Jika seorang Ketua Pembangkang gagal mencapai kesepakatan dalam kalangan pihak Pembangkang terhadap apa jua pendirian dasar yang ingin diambil, maka beliau tidak wajar dianggap atau diangkat sebagai Ketua Kumpulan bagi Pembangkang.
Sebaliknya, jika hampir keseluruhan Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada pihak Pembangkang telah memilih seseorang sebagai Ketua Kumpulan mereka, maka masalah akan timbul sekiranya keputusan tersebut tidak dipatuhi dan dihormati.
Mohamad Siddiq Azani merupakan seorang peguam dan aktif berkongsi pandangan dengan menggunakan nama @Solisidtor.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.