Di sebalik kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri, wujud satu realiti yang semakin jelas dirasai rakyat, tekanan kos sara hidup yang terus menghimpit, walaupun negara kita dikatakan ekonominya semakin baik dek kerana nilai ringgit yang semakin baik. Itulah yang disampaikan kepada kita, rakyat biasa.
Namun, ketika penulis pulang berhari raya dikampung dan bertemu sank saudara, gambaran itu nyata sekali berbeza.
Perbualan bersama ahli keluarga dan saudara-mara, sepupu sepapat, sepanjang musim perayaan mendapati isu harga diesel menjadi antara topik paling kerap dibangkitkan ketika bersembang. Isu ini diselangseli dengan hal-hal perkhabaran keluarga yang sudah lama tak bertemu.
Dalam labun bersama pakcik dan sepupu, perbualan hinggap ke masalah golongan peniaga kecil dan sederhana, khususnya yang menggunakan kenderaan pikap seperti Hilux untuk menjalankan perniagaan, dilihat paling terkesan.
Secara kebetulan, penulis ada ramai sepupu yang berniaga, ada yang berniaga makan di pasar, menjadi kontraktor kecil dan berniaga borong barang-barang keperluan.
Menurut mereka, kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada kos operasi harian — daripada penghantaran barangan hingga ke pergerakan logistik kecil. Situasi ini menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil, malah ada yang terpaksa mengurangkan aktiviti perniagaan. Setiap langkah dan keputusan, memberi kesan langsung kepada pendapatan.
Dalam masa sama, terdapat juga kekeliruan dalam kalangan rakyat apabila nilai Ringgit Malaysia dilaporkan semakin mengukuh, namun harga barangan, khususnya di bazar Ramadan, masih dianggap tinggi. Sepupu penulis, merungut bahan bekalan harga tak menentu, sedangkan nak isi minyak pick up, harga diesel dah melambung.
Dia juga berita tahu, pembeli meluahkan rasa hairan apabila harga makanan dan minuman di bazar dilihat tidak selari dengan tahap pendapatan semasa. Mereka berpendapat, walaupun dikatakan petunjuk pemulihan ekonomi, tapi kesannya masih belum dirasai di peringkat pengguna.
Kebimbangan turut memuncak apabila perbualan beralih kepada perkembangan geopolitik antarabangsa, khususnya konflik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.
Rata-rata menyuarakan kegusaran bahawa ketegangan tersebut berpotensi menyebabkan harga minyak global meningkat, sekali gus memberi kesan berantai kepada harga barangan keperluan harian di dalam negara.
Nampak rakyat sudah semakin celik dengan isu ekonomi dan geopolitik. Sungguhpun tak mendalam, tapi asasnya mereka semua dah faham. Itulah yang positifnya.
“Kalau minyak naik lagi, semua barang akan ikut naik,” antara rungutan sepupu penulis yang menjadi usahan kecil. Kata-katanya mencerminkan kebimbangan terhadap masa depan ekonomi isi rumah.
Bagi penulis, dalam konteks ini, ada juga yang menyuarakan pandangan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu menunaikan janji-janji berkaitan kos sara hidup, agar rakyat dapat merasai kelegaan yang lebih nyata. Kalau tidak, maka benarlah semua janji bulan dan bintang Anwar itu, hanylah janji kosong.
Walaupun sambutan Aidilfitri tetap disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, perbualan di meja makan dan ruang tamu jelas menunjukkan bahawa isu ekonomi kekal menjadi kebimbangan utama rakyat.
Inilah kisah dan “Resah di sebalik raya” yang memperlihatkan satu gambaran yang lebih jujur — bahawa di sebalik senyuman dan ziarah, terdapat keresahan yang bersarang dalam hati rakyat.
Bilakah keresahan ini akan berakhir, penulis sendiri tidak tahu.
Gayah, Sungai Udang Melaka
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.