
KUALA LUMPUR | 7 Januari 2026 — Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu, menekankan kepentingan integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab setiap warga Tentera Darat Malaysia (TDM).
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara, dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali. Baginda menegaskan kepemimpinan berintegriti bermula dari peringkat tertinggi, dan PTD baharu hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus dan bertanggungjawab.
Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai angkatan yang profesional dan bebas daripada amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan… sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik di laman facebook baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Azhan Md Othman, PTD baharu, di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini. Jeneral Datuk Azhan secara rasmi dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026, selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025, dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.
Pelantikan Jeneral Datuk Azhan sebagai PTD baharu menandakan kesinambungan kepimpinan Tentera Darat Malaysia dengan penekanan kepada profesionalisme, integriti dan amanah dalam setiap aspek perkhidmatan.
Nasihat banginda dilihat sangat signifikan ditengah-tengah pendedahan skandal rasuah melibatkan bekas Panglima Tentera Darat yang dibuat oleh Badrul Hisham Shaharin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.