Akta Lompat Parti: Wakil Rakyat Perlu Bebas Bersuara, Bukan Jadi “Pak Turut” Presiden – Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 18 Mei 26 – Undang-undang anti lompat parti tidak sepatutnya digunakan untuk memaksa Ahli Parlimen taat sepenuhnya kepada pemimpin parti sehingga hilang kebebasan untuk bersuara dan mempertahankan prinsip.

Perkara itu ditegaskan seorang Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang turut mengulas keputusan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu wajar dihormati kerana memilih mempertahankan prinsip walaupun keputusan yang diambil bukan sesuatu yang mudah.

Dalam masa sama, katanya, Dewan Rakyat turut kehilangan dua Ahli Parlimen yang berkualiti dan berpengalaman dalam perbahasan serta semak dan imbang kerajaan.

Menurut beliau, isu lebih besar yang perlu dibincangkan ialah tujuan sebenar undang-undang anti lompat parti.

“Adakah undang-undang ini diwujudkan untuk menjaga kestabilan negara, atau sebenarnya untuk memastikan Ahli Parlimen tidak boleh melawan arahan pemimpin parti?” soalnya dalam kenyataan di facebook, hari ini.

Beliau berkata, ketika rundingan menggubal undang-undang itu pada tahun 2021 dan 2022, beliau pernah membangkitkan persoalan sama ada rakyat memilih parti semata-mata atau memilih individu yang diyakini mampu membawa suara rakyat di Parlimen.

Katanya, budaya politik yang menjadikan wakil rakyat sekadar “pak turut” parti perlu dihentikan.

“Ahli Parlimen perlu ada kebebasan berfikir dan menyuarakan pandangan sendiri, bukan hanya mengikut arahan parti secara membuta tuli,” katanya.

Menurut beliau, demokrasi yang sihat memerlukan keseimbangan antara disiplin parti dan keberanian wakil rakyat mempertahankan prinsip.

Beliau turut mengingatkan bahawa jika kebebasan Ahli Parlimen terlalu dikawal atas nama anti lompat parti, keadaan itu hanya akan menguatkan kuasa kelompok elit dalam parti politik.

Katanya lagi, wakil rakyat juga perlu berani menegur kepimpinan parti jika parti sudah tersasar daripada perjuangan asal.

Dalam kenyataan sama, beliau mengakui tindakan keluar parti atau pemecatan Ahli Parlimen sering menimbulkan kemarahan dalam kalangan ahli parti, termasuk kes melibatkan Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini.

Namun katanya, kemarahan parti tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup hak seseorang wakil rakyat bertindak mengikut keyakinan sendiri.

“Hari ini Dewan Rakyat kehilangan dua Ahli Parlimen bukan kerana mereka meninggalkan rakyat, tetapi kerana mereka sudah kecewa dengan kegagalan Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata, apabila suara yang berbeza disingkirkan, pihak yang paling rugi sebenarnya ialah rakyat kerana kehilangan wakil yang berani bersuara dan menegur kerajaan.

Katanya, Malaysia perlu memikirkan semula bentuk demokrasi yang mahu dibina sama ada demokrasi yang hanya menguatkan kuasa parti, atau demokrasi yang benar-benar memberi ruang kepada wakil rakyat mempertahankan suara rakyat.

Semalam, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan masing-masing dan mengisytiharkan keluar PKR berkuatkuasa esok. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share