
KUALA LUMPUR, 4 MEI 25 – Kerajaan Pusat disarankan melihat potensi negeri-negeri ditadbir pembangkang, atau SG4 dalam menghadapi tarif Amerika Syarikat (AS), kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Mohamed.
Amzad berkata, negeri SG4 mempunyai kira -kira 68% hingga 70% sumber nadir bumi ‘rare earth oxide’ (REO) Malaysia, yang dianggarkan bernilai RM747 bilion sekaligus berpotensi untuk menjadi hasil.
“Jika tarif AS menyasarkan produk nadir bumi dari China, Malaysia boleh muncul sebagai alternatif utama dalam rantaian bekalan global. Kemudahan pemprosesan nadir bumi di Malaysia akan menjadi lebih menarik dan strategik untuk syarikat-syarikat AS yang mahu mengurangkan kebergantungan terhadap China.
“SG4 berpotensi membekalkan sehingga 10% keperluan global menjadikannya ‘game changer’ dalam pasaran antarabangsa dan rantau Asean,” katanya, kepada politiko.my.
Menurutnya, kelebihan di negeri SG4 itu boleh dieksploitasi yang boleh diselaraskan dengan strategi pemulihan ekonomi pasca tarif AS.
“Negeri-negeri ini tidak wajar dilihat sebagai pesaing, sebaliknya sebagai rakan pelengkap dalam memacu ekonomi negara secara inklusif.
“Ini akan membuka ruang kepada pelaburan asing baharu, pemindahan teknologi, dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam industri pemprosesan dan pembuatan hiliran,” katanya.
Malah perkara itu juga berkemungkinan akan dibangkitkannya dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin, bagi membahaskan isu tarif dikenakan Presiden AS Donald Trump. @politiko.my