
KUALA LUMPUR, 2 Okt 25 — Mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menegaskan bahawa Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada kawasan Kampung Baru yang diwartakan khas sebagai tanah penempatan Melayu sejak 1900, dan wajar dikekalkan statusnya sebagai rizab Melayu.
Menurut beliau, penegasan itu selaras dengan kenyataan akhbar Istana Alam Shah pada 18 September lalu, yang menyatakan Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada Kampung Baru, kawasan penempatan terbesar orang Melayu di tengah ibu kota.
“Saya menyokong penuh titah DYMM Sultan Selangor. Kampung Baru bukan sahaja lambang identiti Melayu, malah ia mempunyai nilai sejarah dan warisan yang sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ambrin yang juga anak jati Kampung Baru menjelaskan, pewartaan asal tanah seluas lebih 220 ekar itu sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS) pada 1900 adalah hasil kurniaan Sultan Ala’iddin Sulaiman Shah, dengan tujuan memberi penempatan tetap kepada orang Melayu di Kuala Lumpur.
“Sejarah menunjukkan tanah ini dikhaskan untuk orang Melayu sahaja. Royal Commission of Enquiry pada 1957 dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 1974 juga memperkukuhkan fakta tersebut,” jelas beliau.
Mengulas kontroversi pembangunan Kampung Sungai Baru, Ambrin menegaskan bahawa tanah itu jelas berada dalam kawasan MAS dan oleh itu tidak boleh dipisahkan daripada status asalnya.
“Berdasarkan surat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 5 Mei 1970, tanah Kampung Sungai Baru adalah tanah khas orang Melayu dan hendaklah kekal begitu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan pakar undang-undang tanah, sejarah dan perancangan bandar serta tokoh masyarakat Kampung Baru bagi mencari penyelesaian muktamad.
“Saya percaya jalan terbaik boleh dicapai demi mempertahankan hak orang Melayu di Kampung Baru,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.