Amerika Syarikat Bersubahat Dalam Genosid Gaza, Tun M Ulangi Dakwaan

KUALA LUMPUR, 6 Okt 25 — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menuduh Amerika Syarikat (AS) sebagai rakan subahat utama dalam genosid yang sedang berlaku di Gaza, dengan mendakwa Washington memberi perlindungan politik dan bantuan ketenteraan kepada Israel dalam peperangan yang mengorbankan ribuan rakyat Palestin.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini bertajuk “Genocide by Israel / U.S.”, Dr. Mahathir berkata kegagalan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan di Gaza membuktikan bahawa AS menjadi punca utama kepada kebuntuan global dalam isu Palestin.

“Israel sekali lagi menggagalkan usaha menghantar bantuan ke Gaza. Apa yang berlaku kini mengulangi peristiwa tahun 2010,” katanya, merujuk kepada insiden flotila kemanusiaan ke Gaza yang diserang tentera Israel pada tahun tersebut.

Menurut beliau, semua saluran penyelesaian – sama ada diplomatik, undang-undang atau tindakan awam – telah gagal kerana kuasa besar dunia melindungi kezaliman Israel.

“Tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk menghentikan genosid di Gaza. Kerajaan gagal, proses undang-undang gagal, dan kini tindakan rakyat juga gagal,” katanya.

Dr. Mahathir menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab moral dan jenayah perang kerana telah memberi sokongan kewangan dan senjata kepada Israel serta menggunakan kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang resolusi gencatan senjata.

“AS telah memveto resolusi gencatan senjata yang disokong majoriti anggota Perhimpunan Agung PBB. Maka, AS bersalah melakukan genosid terhadap lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi Palestin di Gaza,” tegas beliau.

Bekas perdana menteri berusia 100 tahun itu turut menyatakan bahawa Amerika telah hilang kelayakan moral untuk bercakap tentang hak asasi manusia atau keadilan antarabangsa selepas berpihak kepada Israel dalam konflik berpanjangan tersebut.

“Amerika telah kehilangan hak untuk mengambil pendirian moral tinggi mulai sekarang dan pada masa hadapan,” katanya.

Kenyataan Dr. Mahathir itu dibuat selepas laporan antarabangsa mendakwa konvoi bantuan Global Sumud Flotilla sekali lagi gagal menembusi sekatan laut Israel untuk menghantar bekalan ke Gaza, menimbulkan kemarahan aktivis kemanusiaan di seluruh dunia.

Donald Trump dijadualkan akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2025 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober 2025 ini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share